Didenda RM21,000 Sebab Beri Makan Merpati Liar

Seorang wanita di Singapura didenda selepas didapati terus memberi makan kepada burung merpati walaupun telah menerima pelbagai amaran daripada pihak berkuasa.
Lebih mengejutkan, wanita itu turut cuba mengelak daripada pegawai dengan menaiki sebuah bas dan memberikan maklumat palsu ketika disoal siasat.
Menurut laporan CNA, Soh Choon Heong mengaku bersalah atas tiga pertuduhan memberi makan hidupan liar tanpa kebenaran serta satu pertuduhan menghalang pegawai yang menjalankan tugas di bawah Akta Hidupan Liar.
Wanita berusia 64 tahun itu kemudiannya dikenakan denda sebanyak 6,500 dolar (RM21,000).
Tujuh lagi pertuduhan berkaitan memberi makan hidupan liar tanpa kebenaran turut diambil kira ketika menjatuhkan hukuman.
Menurut CNA, Soh sedar bahawa memberi makan kepada hidupan liar adalah satu kesalahan, namun dia tetap meneruskan perbuatannya beberapa kali antara September 2024 hingga September 2025.
Pihak National Parks Board (NParks) menerima aduan mengenai tindakannya dan menjalankan beberapa operasi pemantauan di sekitar Scotts Road pada 1 September 2024, 9 November 2024 dan 14 Februari 2025.
Pada 14 Februari 2025, pegawai NParks melihat Soh memberi makan sekumpulan merpati di kawasan Far East Plaza.
Rakaman video yang ditunjukkan di mahkamah memperlihatkan Soh duduk di luar pusat beli-belah itu sambil menabur makanan kepada sekumpulan merpati.
Pegawai NParks kemudian menghampirinya untuk merekodkan maklumat peribadi, namun Soh mendakwa dia tidak membawa kad pengenalannya dan hanya memberikan butiran secara lisan.
Dia kemudiannya berjalan ke sebuah perhentian bas berdekatan ketika pegawai masih bercakap dengannya.
Soh kemudian cuba mengelak daripada pegawai dengan menaiki sebuah bas, namun pegawai NParks turut menaiki bas tersebut dan terus meminta maklumat dirinya.
Ketika itu, dia didakwa memberikan nama palsu iaitu Tan Siew Siew serta nombor kad pengenalan yang tidak tepat.
Seorang pegawai mula mengesyaki maklumat yang diberikan tidak benar apabila Soh kelihatan teragak-agak ketika menyebut butirannya.
Setibanya di hentian bas berikutnya, Soh segera turun dari bas dan pegawai terus mengekori wanita tersebut.
Disebabkan dia enggan memberikan kerjasama, polis dipanggil untuk membantu.
Pemeriksaan terhadap barangan miliknya kemudian menemukan lesen memandunya, sekali gus membolehkan identitinya disahkan.
Ketika rayuan hukuman, Soh menjelaskan bahawa nama yang diberikannya sebenarnya adalah nama panggilan yang sering digunakan oleh orang sekeliling.
Menurut laporan Shin Min Daily News, Soh berkata dia mengalami kerugian akibat pelaburan yang gagal semasa pandemik COVID-19 dan berasa kecewa dengan kehidupannya.
Namun, apabila melihat merpati-merpati tersebut, dia berasa sangat kasihan terhadap haiwan itu.
“Pada ketika itu saya rasa lebih bersemangat untuk terus hidup. Saya masih boleh bekerja, tetapi merpati tidak boleh bekerja,” katanya.
Kenyataan itu mengundang reaksi spontan daripada Majistret Don Ho yang membalas:
“Tetapi merpati memang tak perlu bekerja, bukan?”
Don Ho menjelaskan merpati boleh mendapatkan makanan daripada sisa makanan dan tong sampah di pusat penjaja.
Soh turut berulang kali mendakwa bahawa dia memberi makan mi segera dan cebisan makanan kepada merpati untuk “menyelamatkan” haiwan tersebut.
Dia juga mendakwa pernah membalut merpati dengan tuala dan membantu menanggalkan tali, benang atau objek yang tersangkut pada badan burung itu.
Namun, Majistret Ho menegaskan tiada tindakan sedemikian kelihatan dalam rakaman video yang dipaparkan di mahkamah.
Sebagai balasan, Soh berkata dia masih belum sempat menangkap mana-mana merpati dalam rakaman tersebut kerana mahu melakukannya secara perlahan-lahan.



