Bapa Meninggal Dunia, Ma Dong Seok Berkabung

Pelakon terkenal Korea Selatan, Ma Dong Seok, sedang berkabung atas pemergian bapanya, mendiang Lee Ki Tae, yang meninggal dunia pada 2 Jun lalu.
Rumah pengebumian telah disediakan di Bilik 17, Dewan Pengebumian Hospital Samsung Seoul di daerah Gangnam, Seoul, yang merupakan sebahagian daripada Samsung Medical Center.
Agensi Ma Dong Seok dalam satu kenyataan berkata, pihaknya meminta semua pihak supaya memahami keadaan Ma Dong Seok buat masa ini.
“Kami memohon pengertian semua pihak kerana tidak dapat menghubungi setiap individu secara peribadi disebabkan situasi yang berlaku secara mengejut.
“Kami amat menghargai sekiranya anda dapat mengiringi mendiang dalam perjalanan terakhirnya,” kata kenyataan itu.
Ma Dong Seok dan isterinya, Ye Jung Hwa, disenaraikan sebagai waris utama dan kini berada di rumah pengebumian untuk menerima kehadiran pelawat serta memberi penghormatan terakhir kepada mendiang.
Perarakan pengebumian dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 pagi, 4 Jun, manakala lokasi persemadian telah ditetapkan di Seoul Memorial Park.
Sementara itu, Ma Dong Seok baru-baru ini memulakan penggambaran filem The Roundup 5, sekuel kepada siri filem popular The Roundup, di mana beliau bukan sahaja memegang watak utama, malah turut bertindak sebagai penulis dan penerbit.



