“Cukup-Cukuplah Kata TokTi Tak Support, Jadual Dia Sibuk”

Penyanyi, Nourul Deep, 48, tampil mempertahankan Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas Biduanita Negara itu sekali lagi menjadi sasaran segelintir netizen yang mendakwa kurang memberikan sokongan terhadap konsert dan persembahan artis tempatan.
Nourul menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak adil memandangkan Siti mempunyai jadual yang sangat padat sebagai penyanyi, usahawan dan ibu kepada keluarga.
Menurutnya, komitmen besar yang digalas penyanyi nombor satu negara itu menyebabkan tidak semua undangan atau acara dapat dihadiri seperti yang diharapkan ramai pihak.
“Tokti ni busy ya amat jadual dia. Saya yang biasa-biasa pun busy apatah lagi dia,” tulis Nourul dalam satu hantaran.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Kerana Terluka itu menegaskan Siti sentiasa menyokong rakan-rakan artis, cuma caranya mungkin tidak semestinya dengan hadir secara fizikal ke setiap konsert atau persembahan.
Malah, Nourul mendedahkan Siti pernah membantu mempromosikan konsertnya dengan merakamkan video khas selepas diminta oleh pasukannya.
“Dia support, kalau tak dia tak record video untuk konsert saya apabila team saya minta buatkan.
“Dia sangat humble dan baik budi pekerti. Cukup-cukuplah kata Tokti tak support, bagi dia ruang juga untuk diri dia,” katanya lagi.
Perkongsian Nourul itu menerima perhatian ramai yang rata-ratanya bersetuju bahawa sokongan terhadap industri tidak semestinya diukur melalui kehadiran seseorang ke sesuatu acara, sebaliknya boleh dizahirkan dalam pelbagai bentuk.
Sebelum ini, Siti turut tampil menjelaskan bahawa dirinya sentiasa menyokong perkembangan industri muzik tempatan termasuk usaha artis-artis senior yang banyak berjasa dalam mewarnai dunia hiburan tanah air.
Menurut ibu dua cahaya mata itu, dia gemar menghadiri konsert atau persembahan artis yang diminati, namun kekangan masa serta komitmen terhadap kerjaya dan keluarga adakalanya membataskan hasrat tersebut.



