Viral

Tuduh Warga Asing Operasi Kedai Secara Haram, Lelaki Ini Cetus Perdebatan Dalam Kalangan Netizen

Seorang lelaki mencetuskan perdebatan dalam talian selepas dirakam memasuki sebuah kedai runcit dan berdepan dengan seorang pekerja asing yang dipercayainya menjalankan perniagaan secara haram.

Insiden itu dikongsikan di platform X dan video berkenaan menerima pelbagai reaksi daripada netizen, dengan ramai mengkritik tindakan agresif lelaki tersebut.

Berdasarkan video berkenaan, lelaki itu dilihat memasuki kedai sambil merakam menggunakan telefon bimbitnya.

Dia kemudian mempersoalkan peranan pekerja asing tersebut di dalam premis itu sambil mendakwa dengan nada lantang bahawa orang Pakistan tak boleh buka kedai dan berniaga di Malaysia.

Pada satu ketika, lelaki itu turut kedengaran berkata: “Kalau saya suruh awak tutup kedai, awak tutup kedai,” katanya.

Ketika konfrontasi berlangsung, dia juga dilihat menjatuhkan beberapa barangan dalam kedai sebelum meninggalkan premis tersebut dalam keadaan marah.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pernah memaklumkan di Parlimen yang warga asing dilarang memohon atau memiliki lesen bagi perniagaan kecil.

Larangan itu meliputi perniagaan seperti kedai runcit, restoran, bengkel kereta, pasar dan pelbagai premis perniagaan lain.

Di bawah undang-undang pelesenan perdagangan, perniagaan dan industri berkaitan, hanya warganegara Malaysia dibenarkan memperoleh lesen perniagaan.

Warga asing hanya dibenarkan bekerja sebagai pekerja sekiranya mereka mempunyai permit kerja yang sah atau kebenaran sewajarnya.

Walaupun ada netizen bersetuju bahawa pihak berkuasa perlu menyiasat sekiranya benar terdapat isu pelesenan, ramai tetap mengecam tindakan lelaki itu kerana mengambil tindakan sendiri.

Beberapa netizen turut berpendapat pekerja asing dalam video berkenaan mungkin hanyalah pekerja lama dan bukannya pemilik sebenar premis tersebut.

Related Articles

Back to top button