Petisyen Desak Siri Perfect Crown Ditamatkan Cecah 30,000 Tandatangan

Petisyen yang menuntut penamatan drama bersiri Perfect Crown kini melepasi kadar sokongan 60 peratus susulan kontroversi berterusan berkaitan dakwaan penyelewengan sejarah dan kesalahan representasi budaya.
Sehingga 24 Mei, petisyen bertajuk ‘Permohonan menghentikan siaran dan membuang kandungan di semua platform media susulan penyelewengan sejarah serta dakwaan revisionisme sejarah ala Dongbei’ yang dimuat naik di papan petisyen awam Perhimpunan Kebangsaan Korea sejak 22 Mei lalu telah menerima lebih 30,000 tandatangan.
Petisyen tersebut mendakwa, Perfect Crown walaupun menggunakan latar Korea fiksyen, terlalu banyak menampilkan elemen budaya China termasuk kostum, adat istiadat dan penggunaan bahasa tertentu.
Menurut pemohon, gambaran tersebut dianggap sebagai penyelewengan sejarah dan pencabulan budaya.
Mereka turut menuntut agar siaran drama itu dihentikan segera selain semua kandungan berkaitannya dipadam daripada platform VOD dan OTT.
Petisyen itu turut merujuk Artikel 5 Akta Penyiaran Korea yang menyatakan kandungan penyiaran perlu mengukuhkan identiti nasional dan membentuk sentimen masyarakat yang sihat.
Mereka turut menggesa pihak berkuasa memperketatkan peraturan termasuk menyekat dana kerajaan kepada syarikat produksi dan mengehadkan lesen penyiaran sekiranya karya didakwa menjejaskan identiti budaya serta nasional atas nama fiksyen.
Kontroversi semakin memuncak selepas episod 11 memaparkan babak pertabalan Putera Ian lakonan Byeon Woo Seok memakai mahkota istiadat yang dikaitkan dengan negara naungan empayar China.
Dalam episod sama, beberapa watak turut dilihat melakukan ritual dan nyanyian yang didakwa menyerupai budaya istana empayar China tradisional, sekali gus mencetuskan dakwaan drama itu mempunyai kaitan dengan naratif Dongbei Project China.
Susulan kecaman ramai, pasukan produksi tampil memohon maaf secara rasmi dan menyunting semula episod tersebut untuk tayangan ulangan serta platform penstriman dengan membisukan audio tertentu dan membuang sari kata bagi babak dipertikaikan.
Pengarah dan penulis skrip turut memohon maaf menerusi kenyataan rasmi dan wawancara media, manakala pelakon utama termasuk IU turut menyatakan kekesalan terhadap kontroversi tersebut.
Munhwa Broadcasting Corporation (MBC) juga mengesahkan beberapa bahagian episod telah dipotong atau dibuang.
Walaupun tindakan itu sudah diambil, perdebatan dalam kalangan netizen masih berterusan.
Sebahagian pihak berpendapat, suntingan pasca produksi tidak mencukupi dan tetap menuntut drama itu dibuang sepenuhnya, manakala sebahagian lain merasakan desakan pembatalan tersebut terlalu melampau dan nilai seni karya itu juga perlu dipertimbangkan.
Petisyen berkenaan akan terus dibuka sehingga 21 Jun depan.
Sekiranya berjaya mencapai 50,000 sokongan dalam tempoh 30 hari, ia akan dirujuk secara rasmi kepada jawatankuasa tetap berkaitan di Perhimpunan Kebangsaan Korea untuk semakan lanjut.



