Bintang Antarabangsa Cheng Lei Temui Meminat Malaysia September Ini

Penantian peminat drama China di Malaysia untuk bertemu pelakon popular, Cheng Lei, akhirnya menjadi kenyataan apabila bintang berkenaan bakal membuat kemunculan sulung di negara ini pada 13 September depan.
Pelakon yang semakin mencipta nama menerusi beberapa drama hit seperti How Dare You!, Legend of the Female General dan My Journey to You itu akan hadir sebagai tetamu utama acara iQIYI STARSHIP 2026 yang berlangsung di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur.
Kehadiran Cheng Lei dijangka menjadi tarikan utama peminat drama Cina tempatan yang selama ini hanya mengikuti perkembangan pelakon berusia 32 tahun itu menerusi platform penstriman.
Mwnurut Pengarah Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, Malaysia sekali lagi dipilih sebagai destinasi iQIYI STARSHIP berikutan sambutan luar biasa peminat tempatan terhadap drama dan selebriti China.
“Kami teruja membawa kembali iQIYI STARSHIP ke Kuala Lumpur. Peminat di Malaysia sentiasa menunjukkan sokongan luar biasa terhadap drama China dan barisan pelakonnya.
“Kehadiran Cheng Lei memberi peluang kepada peminat untuk bertemu lebih dekat dengan bintang pujaan mereka serta meraikan karya yang diminati dalam suasana lebih istimewa,” katanya.

Menyelusuri perjalananan seni pelakon ini, popularitinya melonjak di peringkat antarabangsa selepas membintangi My Journey to You sebelum terus mengukuhkan kedudukan menerusi drama Legend of the Female General dan terbaharu, How Dare You!.
Drama How Dare You! turut mencipta fenomena apabila muncul antara drama berbahasa Cina paling popular di dunia bagi suku pertama 2026, selain pantas menguasai carta drama global iQIYI sebaik ditayangkan.
Dalam naskhah itu, Cheng Lei mencuri perhatian menerusi watak Xiahou Dan (Zhang San) yang menampilkan sisi karakter kompleks, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelakon lelaki paling mendapat perhatian dalam industri drama China ketika ini.
Sebelum itu, Cheng Lei turut menerima pujian menerusi drama Shadow Love apabila berjaya membawakan tiga watak berbeza dalam satu produksi, sekali gus membuktikan kemampuan lakonannya yang versatil.
Sebagai informasi, iQIYI STARSHIP adalah antara inisiatif utama iQIYI dalam mendekatkan bintang drama China dengan peminat di rantau Asia menerusi pengalaman interaktif dan sesi pertemuan secara langsung.



