Drama

Rita Rudaini Imbas Adegan Sepak Eman Manan Dalam Drama Tiupan Sangkakala

Pelakon, Rita Rudaini, 50, berkongsi kenangan ketika pertama kali bergandingan dengan aktor veteran, Eman Manan menerusi telefilem Tiupan Sangkakala yang diterbitkan pada 2010.

Rita mengakui dia berasa gementar apabila menerima peluang berlakon bersama aktor berpengalaman itu, apatah lagi perlu melakonkan babak yang agak mencabar pada hari pertama penggambaran.

Menurut Rita, salah satu adegan yang paling diingatinya ialah apabila dia diarahkan menendang watak lakonan Eman ketika sedang menunaikan solat.

“Masa ini, kali pertama dapat tawaran bergandingan dengan legenda, memang rasa seram sejuk pada babak pertama itu. Tapi, ada satu babak, saya kena sepak dia masa tengah solat.

“Penggambaran terpaksa dilakukan banyak kali kerana pengarah memberitahu babak berkenaan ‘bocor’ disebabkan sepakan itu nampak sangat menipu,” katanya menerusi satu hantaran di Threads.

Rita berkata, babak tersebut akhirnya berjaya dirakam dengan sempurna selepas Eman sendiri memintanya supaya tidak teragak-agak untuk melakukan aksi itu dengan lebih meyakinkan.

“Abang Eman cakap, ‘tidak mengapa, sepak dan tendang sahaja betul-betul’. Dalam hati saya terfikir, bila masa lagi dapat peluang untuk menerajang Eman Manan.

“Dan sekali sepak sahaja terus pengarah kata ‘cut! Good!’. Tetapi kaki saya rasa macam terseliuh dan sakit sangat. Masa itu terus dapat balasan, keras betul badan dia macam sepak batu,” katanya.

Perkongsian Rita itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang rata-ratanya terhibur dengan pengalaman berkenaan, selain memuji profesionalisme Eman yang sanggup memberikan kerjasama penuh demi memastikan babak tersebut kelihatan realistik.

Untuk rekod, Tiupan Sangkakala diterbitkan oleh Luqsar Kreatif Sdn. Bhd. pada 2010 dan diarahkan oleh Heykal Hanifah.

Naskhah itu menampilkan Rita Rudaini sebagai teraju utama bersama pelakon legenda, Eman Manan dan sehingga kini masih diingati sebagai antara telefilem yang memberi kesan kepada penonton.

Related Articles

Back to top button