Gear Nerds Meetup Satukan Komuniti ‘Gearheads’

Minat terhadap dunia peralatan muzik atau ‘gear’ dalam kalangan pemuzik tempatan terus berkembang apabila Gear Nerds Meetup Vol. 2 menghimpunkan pemain gitar, pemilik studio, jurutera bunyi, pengedar produk serta peminat teknologi audio di LBS Music World pada Ahad lalu.
Selepas kejayaan penganjuran sulung di Sarang Keras, Bandar Pusat Jengka, Pahang, acara anjuran NF Venture itu tampil lebih besar dengan pelbagai aktiviti termasuk demonstrasi produk, sesi soal jawab, perkongsian pengalaman dan peluang mencuba sendiri pelbagai peralatan muzik digital serta analog.
Berbeza dengan pameran muzik konvensional yang lebih tertumpu kepada jualan produk, Gear Nerds Meetup memberi penekanan kepada pendidikan komuniti sekali gus membuka ruang kepada pemuzik pelbagai peringkat bertukar idea dan pengalaman secara bersemuka.
Antara sesi yang paling mencuri perhatian ialah perkongsian gitaris Cromok, Shah Sidious, yang memperkenalkan keupayaan Kemper Profiler Stage dalam menghasilkan pelbagai karakter tona gitar tanpa memerlukan penggunaan beberapa amplifier ketika membuat persembahan.
Menurut Shah, perkembangan teknologi hari ini memberi lebih banyak pilihan kepada pemuzik, namun mereka perlu memahami fungsi setiap peralatan sebelum membuat pelaburan.
“Ramai yang sangka gear mahal akan terus menjadikan bunyi lebih baik. Hakikatnya, kita kena faham bagaimana hendak menggunakan sesuatu peralatan itu mengikut karakter permainan sendiri.
“Gear hanyalah alat, tetapi sentuhan pemain yang menentukan hasil akhirnya,” katanya.

Turut mencuri perhatian ialah demonstrasi gitaris Tebabo, Apek, yang memperagakan keupayaan NUX MG-50Li. Walaupun berada dalam kategori multi-effects mampu milik, peranti itu membuktikan kualiti tona, ciri dan prestasinya mampu bersaing dengan produk yang jauh lebih mahal.
Menurutnya, kemunculan teknologi digital bukan ancaman kepada pemain lama, sebaliknya peluang untuk terus berkembang.
“Dunia muzik sentiasa berubah. Kalau kita terbuka untuk belajar, kita akan sedar teknologi sekarang sebenarnya memudahkan kerja pemuzik sama ada di studio ataupun ketika membuat persembahan secara langsung,” ujarnya lagi.
Program turut dimeriahkan dengan demonstrasi daripada ZFX Industries yang memperkenalkan pelbagai pedal efek daripada jenama terkenal selain berkongsi tip memilih pedal mengikut genre muzik dan bajet pengguna.
Pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan istimewa kumpulan rock Tebabo.

Bagi pihak penganjur, Deadzid berkata kejayaan Gear Nerds Meetup bukan diukur melalui jumlah kehadiran semata-mata, sebaliknya sejauh mana program itu berjaya menyatukan komuniti muzik tempatan.
“Edisi pertama di Sarang Keras memberi keyakinan kepada kami bahawa komuniti ini benar-benar wujud dan semakin berkembang. Sebab itu kami membawa Gear Nerds Meetup ke Pulau Pinang supaya lebih ramai pemuzik di utara berpeluang menyertainya.
“Kami melihat ramai pemain gitar dan pemuzik di Malaysia sebenarnya mempunyai minat yang sama terhadap dunia gear, tetapi mereka tidak mempunyai platform untuk berkumpul dan berkongsi ilmu. Sebab itu Gear Nerds Meetup diwujudkan,” jelasnya.
Menurut Deadzid, sambutan menggalakkan terhadap dua edisi penganjuran menjadi pemangkin untuk membawa Gear Nerds Meetup ke lebih banyak negeri.
“Ramai meminta supaya Gear Nerds Meetup dibawa ke lokasi lain. Pulau Pinang menjadi destinasi kedua dan kami amat gembira melihat komuniti di sebelah utara turut memberikan sokongan yang cukup positif.
“Sama ada anda baru belajar bermain gitar ataupun sudah berpengalaman bertahun-tahun, semua orang boleh datang, berkongsi ilmu dan belajar antara satu sama lain. Itulah semangat sebenar Gear Nerds Meetup.”



