Azhan Rani buat Penonton ‘Naik Darah’

Baru ditayangkan beberapa episod, drama Bulan Henti Bicara terbitan Astro sudah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton apabila ruangan komen media sosial dibanjiri respons yang rata-ratanya mengakui jalan cerita drama itu berjaya menyentuh emosi sejak babak pembukaan.
Antara yang paling mencuri perhatian ialah lakonan Azhan Rani sebagai Jamali yang disifatkan cukup berkesan sehingga membuatkan ramai penonton berasa geram dengan karakternya.
Malah, ada netizen berseloroh, “Kalau dah Azhan Rani pegang watak macam ni, memang automatik kita menyampah!”, sekali gus membuktikan kekuatan lakonan pelakon berkenaan dalam menghidupkan watak antagonis.
Mengulas pembawaan wataknya, Azhan berkata setiap kali menerima naskhah baharu, dia akan mengosongkan dirinya supaya dapat memberikan sepenuh jiwa kepada karakter yang dibawakan.
“Setiap kalau saya berangkat ke naskhah baru, saya saya kosongkan jiwa dari segala apa yang saya perlu buat. Kalau nak katakan yang baru atau kelainan, agak sukar sebab pusing-pusing, sama sahaja. Cuma nama karakter dan tajuk drama yang berbeza.
“Namun saya dibantu oleh naskhah yang baik dan pengarah yang kuat OCD-nya, dia sangat teliti dan itu membantu saya sebagai pelakon. Saya dikawal oleh pengarah saya sebab saya sukar dikawal.
“Pengarah yang tahu arah Jamali harus pergi supaya saya tak terikat dengan kebiasaaan saya dan supaya yang keluar adalah Jamali dan bukan Azhan Rani,” katanya mengenai naskhah itu serta sentuhan pengarah, Eyra Rahman.
Dalam pada itu, lakonan Ezzanie Jasny sebagai Zulfa turut menerima pujian apabila ramai penonton mengakui tersentuh dengan pengorbanan wataknya yang sanggup mengenepikan kebahagiaan diri demi keluarga.

Tidak kurang juga yang mengakui episod pertama sahaja sudah cukup membuatkan mereka sebak, sekali gus meningkatkan jangkaan terhadap episod-episod berikutnya.
Kemunculan semula Azar Azmi selepas hampir tujuh tahun menyepi daripada dunia lakonan turut menjadi antara faktor yang menarik perhatian penonton.
Membawakan watak Faziah, kehadiran Azar disambut baik peminat yang mengakui mengikuti drama itu semata-mata mahu menyaksikan kemunculan semulanya di kaca televisyen.
Sebelum ini, video kemunculan Azar di lokasi penggambaran turut menjadi perhatian apabila meraih lebih sejuta tontonan di TikTok.
Selain persembahan mantap barisan pelakon, penonton turut memuji jalan cerita Bulan Henti Bicara yang dianggap dekat dengan realiti masyarakat menerusi paparan pengorbanan seorang anak, kasih sayang dalam keluarga serta penderitaan seorang wanita.
Melihat sambutan hangat terhadap episod pembukaan, ramai percaya konflik membabitkan Zulfa, Jamali, Faziah dan Afghan bakal menjadi bualan sepanjang tayangan drama itu.
Bulan Henti Bicara dibintangi Ezzanie Jasny, Azhan Rani, Azar Azmi, Ali Reza, Hushairi Husain, Farah Ahmad, Azri Iskandar, Qireen Din, Myra Afrina, Qaseh Izwandy, Qaiyum Aiesha dan Nik Ramly.
Drama itu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan turut boleh distrim menerusi Sooka.



