Drama

Zara Zya Takut Bawa Watak ‘Penyondol’

Pelakon, Zara Zya, 40, mengakui babak pendedahan wataknya sebagai ‘penyondol’ dalam drama Luka Di Hujung Setia merupakan antara adegan paling mencabar sepanjang penggambaran drama tersebut.

Menurut pemilik nama sebenar Zainurul Razia Mohd Zainuddin, dia berasa gementar memikirkan reaksi keluarga serta para peminat apabila episod berkenaan disiarkan.

“Saya memang fikirkan keluarga dan peminat, terutama apabila dikaitkan dengan babak itu. Memang berat juga nak lalui.

“Bagi saya, episod 18 adalah babak paling besar dalam keseluruhan cerita. Nak cakap pasal babak itu pun bulu roma saya masih meremang. Memang rasa takut,” katanya.

Episod ke-18 drama tersebut mendedahkan watak Dhia lakonan Zara sebenarnya menjadi orang ketiga dalam rumah tangga Faris, lakonan Irfan Zaini.

Berkongsi lanjut, Zara berkata dia banyak berbincang dengan pengarah, Raja Mukhriz serta Irfan Zaini bagi memastikan setiap babak dapat disampaikan dengan baik tanpa melampaui batas.

“Saya cuba lakukan yang terbaik, tetapi masih dalam batas yang saya pegang sebagai pelakon berhijab. Saya juga faham bagaimana penerimaan masyarakat terhadap watak seperti ini.

“Kalau saya tidak lakukan babak tersebut, jalan cerita mungkin tidak akan sampai seperti yang dimahukan. Namun, saya pastikan semuanya dibuat secara terkawal dan tidak keterlaluan. Sudut kamera dan cara penggambaran juga memainkan peranan penting,” katanya.

Mengulas penerimaan penonton, Zara mengakui dia sentiasa mengikuti komen yang ditinggalkan di media sosial dan bersyukur kerana ramai memahami watak yang dibawanya.

“Memang saya sudah jangka akan ada impaknya. Cuma saya tak pasti sama ada penerimaan penonton akan positif atau sebaliknya.

“Apa yang mengejutkan saya, pada awal cerita ramai yang menyukai watak Dhia walaupun dia seorang penyondol. Malah ada yang mahu saya dan Irfan digandingkan lagi dalam drama lain.

“Ada juga yang tinggalkan komen seperti, ‘Kenapa suami orang?’ dan ‘Kenapa isteri orang?’, jadi saya faham reaksi penonton terhadap jalan cerita ini.

“Apa juga komen atau kecaman yang diterima, saya anggap itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab membawa watak dan saya terima dengan hati yang terbuka,” ungkapnya.

Related Articles

Back to top button