Naskhah Sempurna Lebih Matang, Harith Zazman & Yonnyboii Serlah Sisi Berbeza

Seiring dengan kematangan dan status sosial semasa telah memberikan idea kepada penyanyi Harith Zazman dan Yonnyboii untuk menghasilkan naskhah baharu yang menyentuh hati.
Sempurna yang dijadikan sebagai pertaruhan bukan sekadar dijadikan tajuk tetapi juga mengangkat tema kasih sayang, penerimaan dan penghargaan terhadap insan yang melengkapkan kehidupan.
Ditulis oleh Harith Zazman, Yonnyboii dan Justin Seow yang turut bertindak sebagai penerbit, Sempurna diinspirasikan daripada pengalaman sebenar kedua-dua penyanyi sebagai suami dan bapa.
Lagu berentak pop itu membawa mesej bahawa kesempurnaan hadir melalui penerimaan dan penghargaan terhadap perbezaan dan kehidupan selepas berkahwin.
“Selepas berkahwin, saya sedar banyak perbezaan antara saya dan isteri. Kami datang daripada latar belakang yang berbeza dan kadang-kadang mempunyai pandangan yang bertentangan tentang sesuatu perkara.
“Tetapi perbezaan itulah yang membuatkan kami saling belajar dan memahami antara satu sama lain. Bagi saya, itulah maksud sebenar sempurna” katanya.

Harith turut menyifatkan karya tersebut sebagai antara lagu paling peribadi yang pernah dihasilkannya dan menjadi naskhah paling matang dan penuh dengan emosi sepanjang pembikinan lagu berkenaan.
Bercerita mengenai kolaborasi bersama Yonnyboii pula, ia tercetus secara spontan selepas Harith merasakan rakannya itu paling sesuai menyampaikan mesej lagu berkenaan.
“Saya dan Yonny mungkin tidak selalu berjumpa, tetapi kami sering berhubung dan saling menyokong antara satu sama lain. Apabila lagu ini siap dalam bentuk demo, saya terus terfikir tentang Yonny.
“Sebagai seorang suami dan bapa, dia sangat memahami emosi dan perjalanan yang cuba saya sampaikan dalam lagu ini,” ujarnya.

Sementara itu, Yonnyboii berkata, Sempurna merupakan dedikasi khas buat isteri dan anak lelakinya yang menjadi sumber kekuatan dalam kehidupannya.
“Dalam lagu ini, saya cuba menyampaikan kepada isteri dan anak saya bahawa saya sanggup melakukan apa sahaja untuk mereka. Mereka membuatkan hidup saya terasa lengkap dan sempurna,” katanya.
Menariknya, sesi rakaman lagu tersebut turut disertai anak Yonnyboii, Kyro, yang menemaninya sepanjang proses rakaman berlangsung.
Menurut Harith, momen itu menjadikan lagu berkenaan lebih bermakna kerana menggambarkan realiti kehidupan mereka sebagai seorang bapa.
“Ketika menulis dan merakam lagu ini, Yonnyboiisedang mendukung anaknya. Malah, ada suara bayi yang turut kedengaran dalam rakaman asal lagu ini.
“Bagi saya, perkara kecil seperti itu membuatkan lagu ini menjadi lebih jujur dan lebih dekat dengan hati,” katanya.
Walaupun membawa tema yang lebih matang, Yonnyboii percaya identiti muziknya masih kekal dalam karya tersebut.
“Saya rasa setiap artis ada identiti tersendiri. Walaupun cerita yang saya kongsi hari ini lebih banyak berkisar tentang keluarga kerana saya sudah berkahwin dan mempunyai anak, identiti sendiri tetap sama.
“Lagu ini cuma menunjukkan sisi saya yang lebih jujur, penyayang dan menghargai orang-orang yang saya sayang,” jelas Yonnyboii pula.



