“Hussain Mengingatkan Saya Kepada Mawi”

Komposer, Ajai, 51, melihat peserta Big Stage Rocketfuel, Hussain memiliki aura dan daya tarikan tersendiri yang mengingatkannya kepada fenomena pernah dicipta penyanyi Mawi ketika menyertai Akademi Fantasia musim ketiga lebih dua dekad lalu.
Menurut Ajai, Hussain bukan sahaja mempunyai personaliti yang unik, malah keaslian dirinya di atas pentas membuatkan penonton mudah tertarik dan menyukainya.
“Kalau kita tengok macam mana dia menari di pentas, seperti tiada perasaan tetapi itulah original dirinya.
“Ubahlah macam mana sekali pun, dia menari dan bergerak pun orang tetap suka. Hussain mengingatkan saya tarikan yang ada pada Mawi dulu,” katanya.
Bagaimanapun, Ajai mengingatkan anak kepada penyanyi veteran Jamilul Hayat itu agar tidak terlalu leka dengan populariti yang sedang dikecapinya ketika ini.
Sebaliknya, Ajai berharap Hussain terus berusaha memperbaiki mutu nyanyian dan persembahan supaya bakat yang dimiliki seiring dengan sokongan besar yang diterima daripada peminat.
“Namun kalau dia dah berjaya, jangan lupa perkemaskan kualiti nyanyian dan persembahan sendiri. Semua itu bagi memastikan mutu vokal serta persembahan seiring dengan daya penarik yang dimiliki.
“Jadi, perlu seiringlah berjuta-juta orang suka suaranya, dia pun kena perlu beri semula jumlah sama kepada peminat,” ujarnya lagi.
Mengulas persembahan Hussain pada konsert minggu kelima di Big Stage Rocketfuel, Ajai berpendapat kekuatan utama peserta itu terletak pada karisma serta penguasaan pentas, berbanding aspek vokal semata-mata.



