Berita

Nelydia Senrose Selamat Bersalin Anak Sulung

Pelakon, Datin Nelydia Senrose, 32, selamat menimang cahaya mata sulung apabila melahirkan seorang bayi lelaki pada Ahad.

Berita gembira itu dikongsikan suaminya, Datuk Mohd Hafez Halimi menerusi satu hantaran di Instagram.

Bagaimanapun, pasangan berkenaan memilih untuk tidak mendedahkan wajah serta nama putera sulung mereka kepada umum.

Menerusi perkongsian tersebut, Hafez turut memuat naik foto yang dirakam di hospital, selain meluahkan rasa syukur dengan kehadiran putera mereka.

“26 Julai 2026, saya menyaksikan wanita paling kuat dan luar biasa pernah saya kenali. Melihat awak berjuang melalui setiap detik kesakitan dan cabaran demi membawa anak lelaki kita selamat ke dunia ini adalah kenangan yang akan saya simpan seumur hidup.

“Melihat awak bergelar seorang ibu adalah perkara paling indah pernah saya saksikan. Sayang, terima kasih atas setiap pengorbanan, setiap titisan air mata, setiap kekuatan yang awak kerahkan dan setiap degupan jantung yang membawa anak lelaki kita selamat ke dalam dakapan kita.

“Awak sangat tabah walaupun segala-galanya bukan mudah. Awak bukan sahaja melahirkan seorang bayi lelaki yang sempurna, malah menghadiahkan saya anugerah paling besar dalam hidup. Hari ini, awak melengkapkan keluarga kecil kita,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Hafez turut menzahirkan rasa syukur apabila doa yang dipanjatkan mereka selama ini akhirnya dimakbulkan dengan kehadiran seorang bayi lelaki yang sihat.

“Dia (Tuhan) mengurniakan kita seorang bayi lelaki yang sihat dan paling penting melindungi kalian berdua dengan selamat. Hati saya tidak pernah terasa sebegini dan saya rasa tidak mampu mencari kata-kata yang cukup untuk mensyukuri nikmat ini.

“Terima kasih kerana menjadikan saya suami yang paling berbangga dan kini seorang ayah yang paling bertuah. Saya berjanji akan menghabiskan sisa hidup saya untuk mencintai, melindungi dan sentiasa berada di sisi awak dalam setiap kegembiraan mahupun dugaan.

“Anak lelaki kita sangat bertuah kerana memiliki awak sebagai ibunya dan saya jauh lebih bertuah kerana dapat memanggil awak sebagai isteri saya. Saya mencintai awak lebih daripada apa yang mampu diungkapkan dengan kata-kata,” luahnya.

Terdahulu, pada April lalu, Nelydia mengumumkan dia sedang hamil anak pertama bersempena sambutan ulang tahun ketujuh perkahwinannya bersama Hafez.

Untuk rekod, Nelydia dan Hafez mendirikan rumah tangga pada 6 April 2019.

Related Articles

Back to top button