Berita

Tunai Haji Bersama Isteri, Ezad Lazim Syukur Jadi Tetamu Allah

Penyanyi, Ezad Lazim meluahkan rasa syukur apabila berpeluang menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadah haji tahun ini bersama isterinya, Nor Azeana Ramli selepas beberapa tahun menanti dengan penuh sabar.

Menurut vokalis kumpulan Exists itu, malam pertama berada di Tanah Suci memberikan perasaan yang sukar digambarkan apabila teruja, gembira dan terharu bercampur menjadi satu.

“Malam pertama di sini, perasaan masih lagi teruja dan gembira. Terharu pun ada sebab terpilih untuk menunaikan haji pada tahun ini.

“Memang dari dulu lagi ia satu keinginan dan impian. Sudah beberapa tahun kami mencuba membuat rayuan dan Alhamdulillah tahun ini terpilih.

“Jadi, memang rasa gembira, lebih-lebih lagi kerana dapat pergi bersama isteri. Saya dan isteri dapat pergi bersama-sama dan itulah yang membuatkan kami lebih bersyukur. Alhamdulillah,” katanya.

Bagi Ezad, peluang berada di bumi anbiya memberikan pengalaman yang sangat berbeza, terutama apabila dapat melalui sendiri setiap detik penting dalam ibadah haji di kawasan Masyair seperti Mina, Arafah dan Muzdalifah.

Katanya, pengalaman tersebut bukan sesuatu yang boleh dibeli atau diulang sesuka hati kerana tidak semua orang diberikan peluang menjadi tetamu Allah.

“Sepanjang berada di sini, banyak pengalaman menarik yang tidak dapat dilupakan.

“Saya rasa pengalaman menunaikan haji itu sendiri, berada di Mina, Arafah dan Muzdalifah adalah sesuatu yang mungkin saya tidak dapat lupakan sebab belum tentu semua orang dapat merasakan pengalaman begini.

“Belum tentu juga saya dapat merasainya lagi pada masa akan datang. Mungkin inilah yang pertama dan terakhir untuk kami mendapat rezeki menjadi tetamu Allah bagi menunaikan haji,” ujarnya.

Berkongsi mengenai makna pengorbanan sempena bulan Zulhijjah, Ezad berkata pengorbanan sebenar bukan hanya tertumpu kepada ibadah korban ketika Aidiladha, sebaliknya melibatkan usaha besar untuk memperbaiki diri menjadi insan lebih baik.

“Kalau bagi saya secara peribadi, korban dan pengorbanan itu bukan sekadar berkorban ketika menyambut Hari Raya sahaja. Sebenarnya pengorbanan itu besar, membabitkan pengorbanan jiwa, diri dan juga kepada keluarga.

“Yang paling penting bagi saya ialah pengorbanan terhadap diri sendiri. Pengorbanan untuk berubah daripada yang tidak baik menjadi lebih baik, dan yang sudah baik menjadi lebih baik lagi.

“Maksudnya sentiasa menjadi lebih baik, itulah pengorbanan yang perlu dilakukan sebagai seorang umat Islam.

“Kita perlu sentiasa memperbaiki diri dan istiqamah dan itulah pengorbanan yang paling sukar sebenarnya kerana bukan semua orang mudah melalui fasa itu,” katanya seperti dilapor Metro.

Related Articles

Back to top button