Concert

Alunan Sitar Bakal Bergema Di Kuala Lumpur, Anoushka Shankar Kembali Ubat Rindu Peminat  

Selepas penantian panjang selama 14 tahun, pemain sitar antarabangsa, Anoushka Shankar akhirnya kembali ke Kuala Lumpur.

Penyanyi dan pemuzik tersohor ini bakal mengadakan persembahan istimewa pada 4 Oktober hadapan, di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre, menjanjikan satu malam yang penuh magis dan tidak dapat dilupakan.

Konsert yang dinanti-nantikan ini dijangka menjadi satu perayaan hebat evolusi muzik, hubungan budaya serta kecemerlangan seni. 

Dikenali sebagai artis yang telah menerima 13 pencalonan Grammy, Anoushka terus mencabar batas muzik klasik dan kontemporari dengan gaya uniknya.

Mewarisi legasi muzik daripada bapanya, Ravi Shankar, Anoushka bukan sahaja mengekalkan tradisi muzik klasik India, malah berani meneroka dimensi baharu dengan pengaruh moden dan global. 

Setiap persembahannya terkenal sebagai pengalaman mendalam yang sarat emosi dan penuh keindahan artistik.

Sepanjang kerjayanya, beliau telah bekerjasama dengan ramai nama besar dunia seperti Herbie Hancock, Sting, Norah Jones serta kumpulan Gorillaz. 

Kini, selepas lebih tiga dekad menjelajah pentas antarabangsa, Anoushka terus memukau peminat dengan kreativiti berani dan aura pentas yang memikat.

Peminat di Kuala Lumpur boleh menjangkakan satu perjalanan muzik yang luar biasa, termasuk karya daripada album terbaharunya, Chapter III: We Return to Light, serta susunan semula lagu-lagu popular sepanjang kerjayanya. 

Daripada alunan tenang yang menyentuh jiwa hingga rentak bertenaga yang memukau, konsert ini dianggap sebagai kepulangan penuh emosi bagi salah seorang pemuzik paling inovatif dunia.

Mengimbas kembali perjalanan seni wanita ini, beliau merupakan pemain sitar, komposer dan penerbit British-India yang telah menghabiskan lebih tiga dekad mengubah landskap muzik klasik dan kontemporari. 

Dengan pengalaman luas di pentas antarabangsa serta kolaborasi berprofil tinggi, beliau kekal sebagai suara berpengaruh dalam evolusi muzik moden.

Sejak debutnya pada usia 13 tahun, Anoushka telah membuat persembahan di pentas dunia, menggubah muzik untuk filem dan mengendalikan festival. 

Beliau mempelajari sitar di bawah bimbingan intensif bapanya, Ravi Shankar, yang bukan sahaja mewariskan tradisi muzik, tetapi juga kebebasan ‘improvisasi’ yang menjadi identitinya.

Antara rakan kolaborasinya termasuk Patti Smith, Zubin Mehta, Joshua Bell, Jacob Collier, M.I.A. serta tokoh spiritual, Dalai Lama. 

Kepelbagaian ini membentuk gaya muziknya yang autentik dan keupayaannya menyentuh hati penonton di seluruh dunia.

Tiket akan mula dijual pada 8 April menerusi laman www.ticket2u.com. Ayuh bersama-sama Anoushka Shankar mencipta memori bersama.

Related Articles

Back to top button