Viral

Pemandu E-Hailing Terkedu Lihat Penumpang Tampar Isteri Dalam Kereta Gara-Gara Tambang RM7

Seorang pemandu e-hailing di Seremban, Negeri Sembilan terkejut selepas menyaksikan seorang penumpang bertindak ganas terhadap isterinya gara-gara pertikaian tambang perjalanan.

Keseluruhan insiden itu dirakam menerusi dashcam milik pemandu tersebut sebelum dikongsikan di akaun Facebook peribadinya.

Menerusi kapsyen hantaran itu, pemandu berkenaan berkata dia mengambil seorang penumpang bersama isteri dan anak mereka. Setelah tiba di destinasi, dia meminta penumpang tersebut membayar tambang sebanyak RM7.

Namun apabila penumpang itu menghulurkan wang RM50, pemandu tersebut memaklumkan dia tidak mempunyai wang kecil dan bertanya sama ada pembayaran boleh dibuat menggunakan e-wallet, tetapi penumpang itu mendakwa baki dalam akaunnya tidak mencukupi.

Melihat tiada jalan penyelesaian ketika itu, pemandu tersebut berkata dia hampir mempertimbangkan untuk membenarkan penumpang itu menaiki kereta secara percuma.

Dia kemudian menasihatkan penumpang tersebut supaya menyediakan wang kecil pada masa akan datang agar situasi seperti itu tidak berulang.

Namun perkara itu dipercayai menimbulkan kemarahan penumpang berkenaan yang terus meninggikan suara dan berkata: “Awak ingat saya tak ada duit?” ujar penumpang itu.

Penumpang tersebut juga semakin agresif apabila mempersoalkan mengapa penumpang perlu menyediakan wang kecil dan menuduh pemandu tersebut bersikap biadab terhadapnya.

Apabila pemandu cuba menjelaskan situasi dengan tenang, tindakan itu dilihat hanya membuatkan penumpang tersebut semakin marah sehingga isterinya cuba menenangkan keadaan.

Namun usaha itu gagal apabila lelaki tersebut mengalihkan kemarahannya kepada isterinya dengan menampar wanita itu sambil mengeluarkan kata-kata kesat seperti ‘babi’ dan ‘bodoh’.

Tindakan itu menjadi kemuncak kemarahan pemandu e-hailing tersebut yang tidak dapat menerima perlakuan ganas penumpang berkenaan lalu segera mengarahkannya keluar dari kereta.

Pemandu itu turut mendakwa bahawa walaupun selepas diturunkan dari kereta, penumpang tersebut masih terus memarahi dan memukul isterinya.

Susulan kejadian itu, pemandu berkenaan telah membuat laporan kepada platform e-hailing terbabit dengan harapan isu tersebut dapat diselesaikan.

Namun, keadaan menjadi sebaliknya apabila penumpang itu didakwa kemudian menghantar mesej kepadanya melalui platform e-hailing untuk terus bertegang mulut.

Pemandu tersebut memilih untuk tidak melayan mesej itu dan berkata penumpang berkenaan dialu-alukan untuk membuat laporan sendiri jika mahu.

Related Articles

Back to top button