Global

Setahun Kontroversi Berlalu, Kim Soo Hyun Akhirnya Bersuara Tentang Dakwaan Terhadapnya

Pelakon Korea Selatan, Kim Soo Hyun menerusi agensi mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa penyiasat dan para peminat yang terus menyokongnya, setahun selepas sidang media emosinya berhubung pelbagai dakwaan kontroversi yang melibatkan dirinya.

Agensinya Gold Medalist mengeluarkan kenyataan mengenai pelbagai tuduhan, bukti yang didakwa berkaitan, serta beberapa laporan undang-undang yang dikaitkan dengan kontroversi tersebut.

Menurut agensi itu, perbualan KakaoTalk yang didedahkan kepada umum dan didakwa berkaitan dengan mendiang Kim Sae Ron sebenarnya telah dimanipulasi dan melibatkan pihak ketiga yang tidak mempunyai kaitan dengan Kim Soo Hyun.

Agensi tersebut turut mendakwa bahawa rakaman audio yang dikatakan milik Kim Sae Ron sebenarnya direka menggunakan teknologi AI.

Tambah kenyataan itu lagi, kes tersebut dianggap serius sehingga mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap individu yang terlibat atas dakwaan termasuk fitnah melalui penyebaran maklumat palsu di bawah Akta Rangkaian Maklumat dan Komunikasi, kesalahan berkaitan gangguan (stalking), penyebaran bahan rakaman secara haram, paksaan dan ugutan.

“Kami dengan ikhlas mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa penyiasat kerana berjaya membongkar kebenaran berdasarkan bukti objektif,” menurut kenyataan itu.

Agensi tersebut turut mengimbas kembali sidang media Kim Soo Hyun tahun lalu apabila pelakon itu berkata: “Saya tidak akan meminta orang mempercayai saya. Saya akan membuktikannya,” ujar kenyataan sama.

Menurut kenyataan berkenaan, tempoh setahun telah dihabiskan sepenuhnya untuk menunaikan janji tersebut.

“Kebenaran akhirnya telah dibuktikan melalui prosedur sah dan siasatan menyeluruh. Kami amat berterima kasih kepada semua yang terus mempercayai dan menunggu Kim Soo Hyun,” ujar kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Kim Soo Hyun terpalit kontroversi selepas timbul dakwaan bahawa dia pernah menjalinkan hubungan dengan Kim Sae Ron ketika mendiang masih bawah umur.

Walaupun beliau mengakui mereka pernah bercinta, Kim Soo Hyun menafikan dakwaan bahawa hubungan tersebut bermula ketika Kim Sae Ron masih di bawah umur.

Related Articles

Back to top button