Film

Filem Konspirasi Masih Ditayangkan Di Singapura

Filem Konspirasi masih meneruskan tayangan di pawagam Singapura serta beberapa negara lain meskipun naskhah aksi thriller itu telah dihentikan tayangannya di seluruh pawagam Malaysia.

Perkara tersebut dimaklumkan syarikat produksi, Elepfilm Entertainment menerusi satu kenyataan ringkas yang dimuat naik di platform media sosial rasmi mereka.

Menurut kenyataan itu, tayangan Konspirasi di Malaysia ditamatkan secara rasmi berkuat kuasa 28 Mei 2026 atas faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Pihak produksi secara rasmi mengumumkan bahawa filem aksi-thriller terbaharu terbitan kami, Konspirasi, ditamatkan tayangannya di seluruh rangkaian pawagam Malaysia berkuat kuasa pada 28 Mei 2026.

“Keputusan ini terpaksa diambil berikutan perkara yang tidak dapat dielakkan. Namun, tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam Singapura dan negara-negara lain tidak terjejas serta masih berjalan seperti biasa,” menurut kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, Elepfilm Entertainment tidak memperincikan punca sebenar yang menyebabkan filem berkenaan dihentikan tayangan selepas hanya seminggu menemui penonton di pawagam tempatan.

Terdahulu, tindakan menghentikan tayangan Konspirasi secara serta-merta mencetuskan tanda tanya dan kejutan dalam kalangan peminat serta penggiat industri perfileman.

Filem itu mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 21 Mei lalu sebelum ditarik daripada layar perak hanya beberapa hari kemudian.

FINAS dalam satu kenyataan rasmi memaklumlan tindakan menghentikan tayangan karya berkenaan atas arahan pihak penerbit.

Related Articles

Back to top button