Trending

Kejayaan Luar Biasa, Rocketfuel Entertainment Umum Perancangan 2026

Rocketfuel Entertainment mengumumkan kejayaan luar jangkaan apabila tujuh lagu Raya terbitan syarikat rakaman berkenaan berjaya mencatatkan lebih 13 juta penstriman digital secara keseluruhan, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat ini sebagai antara peneraju kandungan hiburan tempatan.

Pengumuman tersebut dibuat sempena rumah terbuka bertemakan Macam Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment yang diadakan pada Rabu.

Antara lagu-lagu tersebut termasuk Rindu Raya (ALPHA), Kampung Kita (Wani Kayrie), Raya Macam Raya (Hael Husaini x ALPHA), Duit Raya (Sharul Kamal & Mierul Aiman), Senyum Gugur Di Penghujung Doa (Dayang Nurfaizah), Restu Raya (Nadeera), serta Lagu Raya Untukmu (Hael Husaini).

Meneruskan momentum ini, Rocketfuel Entertainment tampil dengan pelbagai pelancaran muzik baharu sepanjang tahun ini termasuklah mengumumkan single terbaharu Qal G berjudul Seharusnya Aku. 

Lagu ini merupakan kesinambungan kepada debut single pertamanya iaitu Sepi. Sebagai rekod, Qal G merupakan finalis program Big Stage Alpha, yang menjadi platform penting dalam mengetengahkan bakatnya.

Seorang lagi peserta program yang sama, Awienit, turut melakar langkah pertama dalam industri apabila bakal melancarkan single sulungnya di bawah Rocketfuel Entertainment tidak lama lagi.

Di peringkat antarabangsa, duo vokal lelaki dari Korea Selatan, HoonDoo telah melancarkan lagu baharu berjudul Jejak Yang Tertinggal sebagai runut bunyi (OST) untuk drama bersiri Dendam Seorang Mentua, yang dilancarkan pada 15 April lalu.

Sementara itu, vokalis berkarisma Nadeera bakal melancarkan single terbaharunya Cuba Jadi Aku pada bulan Jun ini, manakala Hael Husaini pula bakal berkolaborasi dengan seorang penyanyi yang masih dirahsiakan dalam tahun ini.

Selain muzik, Rocketfuel Entertainment turut memperkukuhkan kehadiran dalam dunia lakonan dan kandungan digital.

Nadeera dan Hael antara bintang utama Rocketfuel Entertainment.

Pelakon dan penyanyi Mierul Aiman bakal muncul dalam filem Tarung bersama Zul Ariffin, manakala pelakon dan penyampai radio, Fazziq Muqris akan membintangi filem Kata Hati.

Finalis Dewi Remaja 2023, Qistina Rania pula bakal tampil dalam filem Darah Gagap, sementara Bella Dowanna akan muncul dalam siri Ate Kome di platform Viu.

Dalam perkembangan lain, Evertts Gomes dan Hawa Rizwana akan bergandingan dalam siri romantik PL I Love You.

Pelakon baharu berdarah kacukan Melayu-Inggeris, Arabella Ellen pula bakal membintangi drama Wishlist arahan Michael Ang yang akan ditayangkan di slot MegaDrama Astro Ria. 

Selain itu, Arabella bersama beberapa pelakon di bawah nangungan Rocketfuel Entertainment turut aktif membintangi beberapa drama mico series di platform Sooka.

Rocketfuel turut memperkenalkan atlet bola sepak wanita negara, Qaseh Rania sebagai wajah baharu di bawah naungan mereka, mencerminkan komitmen syarikat dalam mengetengahkan bakat daripada pelbagai latar belakang.

Dalam perkembangan lain, penyanyi popular Wani Kayrie kini sedang giat membuat persiapan menuju ke pentas Semi Final Muzik-Muzik ke-40 (SFMM40) menerusi lagu viralnya Cak Cak Cekuk, yang telah meraih lebih 12 juta tontonan di YouTube dan 2.9 juta penstriman di Spotify.

Menurut Wani Kayrie, dia sedang mempersiapkan diri bagi memastikan perjalanan pertandingan tersebut berjalan lancar seperti mana yang dirancang.

“SFMM40 adalah pentas yang sangat besar dan bermakna buat saya. Saya sedang membuat persiapan rapi dari segi vokal, persembahan dan emosi untuk memberikan yang terbaik. 

“Sokongan terhadap Cak Cak Cekuk benar-benar memberi saya semangat untuk tampil lebih yakin,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button