Viral

“Saya Kenal Suami Selepas Dia Bercerai”

Pelakon, Azar Azmi, 37, memilih untuk tidak melayan segala spekulasi negatif yang bertebaran di media sosial, termasuk dakwaan segelintir pihak yang melabelkannya sebagai ‘fake’.

Azar berkata dia tidak mampu mengawal persepsi orang ramai, malah menyifatkan setiap individu berhak untuk membuat penilaian sendiri terhadap dirinya.

Menurutnya, walau sebanyak mana penjelasan diberikan, tetap akan ada pihak yang berpegang kepada pandangan masing-masing.

“Terpulang kepada mereka untuk berkata apa sahaja mengenai saya. Walaupun saya jelaskan berkali-kali, masih ada yang anggap saya ini hanya berlakon.

“Jadi, sama ada mereka mahu percaya atau tidak, itu di luar kawalan saya. Bagi saya, hanya orang yang benar-benar mengenali saya akan faham,” katanya.

Dalam pada itu, Azar turut menafikan dakwaan yang mengaitkannya sebagai punca keretakan rumah tangga suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri dengan bekas isteri.

Malah, dia turut menjelaskan kekeliruan berhubung isu penjagaan anak tiri yang sebelum ini menjadi bualan ramai.

“Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengatakan saya menjaga tujuh anak tiri seperti yang didakwa.

“Semua anak tiri berada di bawah jagaan ibu kandung mereka. Fokus saya hanya kepada dua anak saya sahaja,” jelasnya.

Tambah Azar, adalah tidak wajar untuk mengaitkannya dengan tanggungjawab menjaga anak tiri kerana ibu kandung mereka masih ada dan menjalankan peranan tersebut.

“Saya jaga anak sendiri sahaja. Ibu mereka masih ada, jadi sudah tentu tanggungjawab itu di bawah mereka,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai perkenalannya dengan suami, Azar menjelaskan hubungan mereka bermula selepas lelaki berkenaan sah berpisah dengan bekas isterinya.

Menurut Azar, mereka tidak melalui tempoh percintaan yang panjang sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun 2021.

“Saya kenal suami selepas dia bercerai. Kami tidak bercinta lama kerana dia terus menyuarakan hasrat untuk berkahwin.

“Dia datang berjumpa keluarga saya dan menyatakan niatnya. Selepas itu, kami terus bernikah dalam majlis yang sederhana bersama keluarga terdekat,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dakwaan seorang individu yang menuduh Azar sebagai ‘orang ketiga’ sehingga menyebabkan perpisahan suaminya dengan bekas isteri.

Related Articles

Back to top button