Ini Sebab Komuniti Opera & Ballet Seluruh Dunia Terluka Dengan Timothée Chalamet

Pelakon dan calon Anugerah Academy, Timothée Chalamet kini menjadi antara calon pilihan untuk memenangi trofi emas bagi filem Marty Supreme. Begitupun, kenyataan yang dikongsi baru-baru ini dilihat kurang disenangi oleh komuniti balet dan opera.
Dalam satu sesi town hall bersama pemenang Oscar Matthew McConaughey yang dianjurkan oleh CNNdan Variety pada hujung bulan lalu, Timothée membincangkan masa depan pawagam serta sama ada perkhidmatan penstriman akan menjejaskan industri wayang.
Menurutnya, jika sesuatu filem benar-benar mendapat perhatian, orang ramai tetap akan pergi menontonnya di pawagam.
“Jika orang mahu menontonnya, seperti Barbie atau Oppenheimer, mereka akan tetap pergi menonton dan dengan bangga menyokongnya,” kata Timothée.
Namun, Timothée menambah, dia tidak mahu bekerja dalam bidang seperti balet atau opera yang, menurutnya secara berseloroh, perlu terus dipertahankan walaupun ‘tiada siapa lagi peduli’.
“Saya tak mahu bekerja dalam balet atau opera atau perkara seperti itu yang mana orang kata, ‘Tolonglah kekalkan benda ini walaupun tiada siapa peduli lagi.’ Dengan segala hormat kepada komuniti balet dan opera,” katanya, yang disambut gelak ketawa penonton.
Chalamet kemudian mengakui bahawa kenyataannya itu sebenarnya dibuat tanpa sebab.
“Saya baru sahaja ‘menembak’ (buat kenyataan) tanpa sebab,” katanya.
Namun, syarikat opera dan balet di seluruh dunia tidak mengambil ringan kenyataan tersebut.
Di New York, Metropolitan Opera memuat naik video belakang tabir dengan petikan kata-kata Chalamet serta kapsyen: “Ini untuk kamu, @tchalamet.”
Di Perancis pula, Paris Opera membuat sindiran terhadap filem Marty Supreme, yang menyaksikan Chalamet membawa watak pemain ping pong era 1950-an yang mempunyai impian besar.
“Plot twist, ada juga ping pong dalam opera,” tulis mereka di Instagram bersama klip daripada opera Nixon in China yang kini dipentaskan di Paris.
Sementara itu, Vienna State Opera turut menyindir dengan menjemput Chalamet secara terbuka untuk datang ke Vienna, sambil berkata pentas mereka menunggu kehadirannya.
Di London, English National Ballet pula menulis: “Kepada mana-mana selebriti yang percaya tiada siapa lagi peduli tentang balet atau opera… kami ingin memaklumkan bahawa balet bukan sahaja masih wujud, malah semakin berkembang.”
Sumber: AFP



