Viral

Digari & Direman Jadi Detik Paling Hitam Dalam Hidup Azar Azmi

Pelakon, Azar Azmi, 37, mengakui pengalaman ditahan dan digari pihak berkuasa atas dakwaan penipuan penjualan tanah menjadi detik paling perit yang pernah dilaluinya sepanjang hidup.

Menurut Azar, persepsi umum yang mengaitkan dirinya dengan kehidupan mewah hasil wang daripada kes tersebut jauh tersasar daripada realiti sebenar yang dihadapinya.

“Saya pernah cakap kehidupan saya tidaklah semewah yang digambarkan, tapi ramai tak percaya. Hakikatnya saya pernah berniaga durian dan cempedak goreng sendiri.

“Kalau benar seperti yang dituduh, mungkin saya boleh terima apabila ditahan. Tapi apa yang berlaku, kehidupan saya langsung tak sepadan dengan apa yang diperkatakan… sampai nak makan pun kena berjimat,” katanya dalam satu temu bual.

Mengulas lanjut, Azar berkata dia telah melalui keseluruhan proses undang-undang termasuk reman dan siasatan, namun masih ada pihak yang terus mempertikaikan pembebasannya.

“Saya pun tak tahu bila pihak berkuasa datang nak ambil kami. Enam bulan sebelum itu, saya memang terputus hubungan dengan dunia luar kerana tiada telefon.

“Saya sudah melalui semua proses termasuk direman, disoal siasat, tapi sampai sekarang masih ada yang tak puas hati bagaimana saya boleh dibebaskan. Mulut orang memang kita tak boleh tutup,” ujarnya.

Tambah Azar, situasi tersebut meninggalkan kesan emosi yang mendalam, apatah lagi apabila imej dirinya digari tersebar luas hingga menjejaskan persepsi orang ramai terhadapnya.

“Memang terlintas nak jelaskan yang saya tak buat semua itu, tapi siapa yang nak percaya bila gambar tangan bergelang sudah tersebar? Itu antara perkara paling teruk yang pernah terjadi dalam hidup saya.

“Waktu itu saya rasa sangat keseorangan. Tiada tempat untuk mengadu, hanya ditemani dinding dan jeriji besi, saya hanya mampu berdoa agar kebenaran terbukti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Azar turut berkongsi cabaran dalam rumah tangga yang turut terkesan dengan ujian tersebut. Dia mengakui pernah berasa cemburu melihat kebahagiaan pasangan lain, namun memilih untuk terus kuat demi anak-anak.

“Kalau tengok pasangan lain, memang ada rasa cemburu. Tapi saya lebih fokus pada anak-anak, itu yang buat saya terus bertahan.

“Saya impikan keluarga yang kekal sampai akhir hayat, tapi bila diuji begini, saya kena kuat dan teruskan hidup demi mereka,” katanya lagi.

Azar turut memaklumkan dia tidak meninggalkan dunia lakonan sepenuhnya, sebaliknya memperlahankan kerjaya demi menghormati permintaan keluarga mentua.

Dalam masa sama, dia bersyukur kerana masih mempunyai sokongan kuat daripada adik-beradik yang sentiasa berada di sisi dan menjadi sumber kekuatan untuknya bangkit semula.

Terdahulu, Azar dibebaskan tanpa syarat dan kini bertindak sebagai saksi pendakwaan selepas suaminya didakwa di mahkamah atas kes berkaitan penipuan tanah kurniaan serta urusan darjah kebesaran ‘Datuk’ yang tidak wujud.

Related Articles

Back to top button