Viral

17 Kes Saman, 8 Tahun Derita… Betty Banafe Persoal Sampai Bila?

Pelakon, Betty Banafe, 46, mendedahkan emosinya letih apabila kemelut perundangan bersama bekas suaminya masih berpanjangan meskipun mereka sudah lapan tahun berpisah.

Menurut Betty, situasi berlarutan itu memberi tekanan besar terhadap kehidupannya, terutama dalam memastikan kesejahteraan anak-anak terus terpelihara.

“Saya sudah masuk tahun kelapan turun naik mahkamah hampir setiap bulan. Ada 17 kes saman difailkan termasuk lima komital, sedangkan banyak perkara langsung tiada kaitan dengan hak penjagaan sementara.

“Saya hanya sibuk menjawab afidavit dan perlu sentiasa bersedia, demi memastikan masa depan anak-anak lebih selamat dan terjaga. Tak kasihan ke pada anak-anak yang terpaksa berdepan perbualan negatif setiap kali bertemu keluarga sebelah sana?” luahnya dalam satu hantaran.

Dalam masa sama, Betty turut menyatakan rasa terkilan apabila isu yang dihadapi seolah-olah tidak menemui titik noktah walaupun pelbagai siasatan telah dijalankan, termasuk penilaian oleh pakar psikologi.

“Pernah satu pasukan lengkap dengan pakar psikologi datang buat penilaian terhadap kami. Hasilnya, mereka akui tiada unsur penderaan dan semuanya dalam keadaan baik.

“Jadi saya tertanya, apa lagi usaha untuk memburukkan reputasi saya? Cukuplah, saya penat,” katanya lagi.

Tambah Betty, sepanjang proses perceraian, dia tidak pernah menuntut sebarang nafkah seperti mutaah, idah mahupun harta sepencarian kerana hanya menginginkan kehidupan yang lebih tenang.

“Waktu bercerai dulu, saya tak tuntut apa-apa. Saya cuma mahu berpisah secara baik dan bina semula kehidupan baharu. Tapi kenapa masih berlarutan sampai sekarang? Salahkah saya hanya mahu hidup tenang?” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Betty mendirikan rumah tangga dengan Bruce Dargus pada 8 Disember 2012 sebelum bercerai pada 10 Julai 2019. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Julia Claire Dargus, 13, dan Bruce Dean Dargus, 10.

Related Articles

Back to top button