Global

16 Pelajar Universiti Digantung Susulan Dakwaan Group Chat Lucah Tular

Seramai 16 pelajar undang-undang dari University of Indonesia (UI) digantung sementara daripada aktiviti akademik susulan dakwaan mesej kumpulan yang bocor mengandungi kenyataan berunsur lucah serta objektifikasi terhadap wanita menjadi tular di media sosial.

Insiden ini mencetuskan kemarahan orang ramai dan menghidupkan semula perbincangan mengenai gangguan seksual di kampus universiti di Indonesia, lapor Antara News.

Penggantungan tersebut berkuat kuasa dari 15 April hingga 30 Mei lalu, dengan pihak universiti menyatakan langkah itu bertujuan memastikan siasatan dijalankan secara adil serta melindungi semua pihak yang terlibat.

Menurut jurucakap universiti, Erwin Agustian Panigoro, kesemua 16 pelajar dari fakulti undang-undang itu tidak dibenarkan menghadiri kuliah, sesi bimbingan akademik dan aktiviti pembelajaran di kampus sepanjang tempoh penggantungan.

Mereka juga dilarang memasuki kampus kecuali jika dipanggil untuk siasatan atau urusan penting di bawah pengawasan universiti.

Universiti turut memaklumkan penglibatan pelajar tersebut dalam organisasi pelajar telah disekat, selain langkah pemantauan diperkenalkan bagi mengelakkan sebarang hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan mangsa atau saksi sepanjang siasatan berlangsung.

Pihak universiti tidak menolak kemungkinan kes ini dirujuk kepada pihak berkuasa jika terdapat unsur jenayah.

Dalam masa sama, universiti memberi jaminan bahawa bantuan psikologi dan perundangan akan disediakan kepada mangsa dengan identiti mereka dirahsiakan.

Panigoro turut memaklumkan Pasukan Petugas Pencegahan dan Pengendalian Keganasan Seksual universiti telah ditugaskan untuk mengesahkan laporan, memanggil individu terlibat dan mengumpul bukti. Tindakan buang universiti juga tidak diketepikan sekiranya pelanggaran disahkan.

Kes ini mendapat perhatian meluas selepas tangkap layar perbualan yang didakwa daripada kumpulan pelajar tersebar di media sosial, memaparkan kenyataan lucah, jenaka seksual serta komen menghina terhadap pelajar dan pensyarah wanita.

Beberapa tangkap layar turut menunjukkan gurauan melibatkan isu persetujuan dan keganasan seksual, sekali gus mencetuskan kritikan lebih hebat memandangkan mereka merupakan pelajar undang-undang.

Namun, kesahihan tangkap layar tersebut masih belum dapat disahkan secara bebas, dan identiti individu yang didakwa terlibat belum didedahkan secara rasmi oleh fakulti.

Pengguna media sosial juga menyebarkan dakwaan tidak sahih mengenai latar belakang keluarga beberapa pelajar, termasuk tuduhan bahawa ada dalam kalangan mereka berasal daripada keluarga berpengaruh.

Related Articles

Back to top button