Adira Tak Akan Persiakan Peluang Kedua

Selepas terselamat daripada penyingkiran pada saat akhir, penyanyi Adira Suhaimi menyifatkan peluang kedua yang diterima anak sulungnya, Anggrek, dalam Talk To My Manager 2 (TTMM2) sebagai satu rezeki yang tidak akan dipersiakan, malah berjanji untuk bangkit dengan persembahan lebih baik pada minggu hadapan.
Adira mengakui berasa lega dan bersyukur apabila Anggrek diselamatkan menerusi kuasa imuniti juri pada konsert minggu ketujuh, sekali gus membolehkan anaknya meneruskan perjuangan dalam pertandingan berkenaan.
Menurut Adira, peluang yang diberikan itu cukup bermakna dan akan dijadikan pembakar semangat untuk tampil lebih baik selepas ini.
“Sebenarnya saya dan Anggrek sudah biasa berada di kedudukan tiga terbawah. Berada di tempat pertama pun baru sekali, selebihnya kami memang sering berada dalam kelompok tercorot.
Namun saya tetap bersyukur kerana Anggrek masih diberikan peluang untuk terus beraksi di pentas TTMM2.
“Insya-Allah kami akan gunakan peluang kedua ini sebaik mungkin untuk memperbaiki dan menambah baik persembahan pada minggu hadapan,” katanya.
Mengulas mengenai penyingkiran yang diumumkan sebelum mereka diselamatkan, Adira memilih untuk menerima keputusan itu dengan hati terbuka dan percaya setiap peserta telah memberikan persembahan terbaik masing-masing.
Malah, ibu tunggal kepada empat cahaya mata itu menganggap sekiranya mereka benar-benar tersingkir, mungkin itulah rezeki yang telah ditentukan buat mereka dalam pertandingan tersebut.
“Saya tak boleh mempertikaikan keputusan itu kerana saya percaya Anggrek sudah melakukan yang terbaik.
“Kami sudah berusaha bersungguh-sungguh dan menjalani latihan sepanjang minggu.
“Bukan kerana Anggrek tidak bagus, tetapi saya percaya peserta lain juga tampil dengan persembahan yang sangat hebat,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Adira memahami perasaan Anggrek yang tidak dapat menahan air mata ketika diumumkan tersingkir kerana anaknya itu masih kecil dan begitu menyukai pengalaman berada di pentas TTMM2.
Bagaimanapun, dia menjelaskan bahawa sejak awal lagi Anggrek sudah diberikan pemahaman mengenai hakikat sesebuah pertandingan yang sememangnya mempunyai kemenangan dan penyingkiran.
“Anggrek memang sedih dan beremosi, tetapi itu perkara biasa bagi kanak-kanak. Mungkin dia juga masih mahu membuat persembahan di TTMM2.
“Sebelum menyertai pertandingan ini lagi saya sudah beritahu tentang menang, kalah dan penyingkiran kerana itu memang adat pertandingan,” katanya.
Pada konsert minggu ketujuh, Adira dan Anggrek diumumkan tersingkir sebelum diselamatkan oleh juri tetap, AC Mizal dan Sarimah Ibrahim menerusi kuasa imuniti.
Turut menerima peluang kedua ialah pasangan A. Aida dan Azeva Natasha yang diberikan talian hayat oleh pihak penganjur, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasangan bakal kembali berentap pada pentas suku akhir TTMM2 minggu hadapan.



