Global

Baru Beli Porsche, Kereta Leetuk Super Junior Dirempuh Dalam Kemalangan

Anggota kumpulan Super Junior, Leeteuk berkongsi perkembangan terkini kepada peminat selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya baru-baru ini.

Menerusi kemas kini di Instagram, Leeteuk bercerita mengenai kemalangan yang dialaminya itu secara terperinci.

“Selepas menamatkan tugas sebagai duta Porsche, saya membuat keputusan untuk membeli Porsche Taycan GTS. Pembelian dibuat dua minggu selepas saya selesai menjalani penggambaran semua kandungan promosi. Kereta itu masih baharu, telah dipasang lapisan perlindungan cat (PPF) dan hanya mencatatkan kurang daripada 800 kilometer perjalanan.

“Saya pun belum sempat menanggalkan semua plastik pelindung pada kereta itu apabila sebuah kenderaan tiba-tiba merempuh saya dari belakang di lebuh raya,” katanya.

Menurut Leetuk, ketika kemalangan dia berasa seolah-olah seluruh badan dihentam dengan tukul.

“Bahagian belakang kereta mengalami kerosakan yang agak serius dan kos pembaikan dianggarkan hampir 14 juta won (RM43,000).

“Sejujurnya, saya sangat kecewa kerana kereta baharu saya kini telah menjadi kenderaan yang pernah terlibat dalam kemalangan,” ujarnya dalam nada sedih.

Kesan daripada kemalangan, Leetuk mendakwa yang dia mengalami kesakitan yang ketara pada leher dan belakang akibat hentakan tersebut. Tambahnya, dia kini menjalani fisioterapi setiap hari.

“Ketika kejadian, saya benar-benar berada dalam keadaan tidak bersedia dan ia meninggalkan kesan trauma yang agak mendalam,” tulisnya lagi.

Leeteuk turut mengakui dia kini berdepan pelbagai komitmen termasuk persiapan album baharu dan jelajah konsert, promosi siaran televisyen serta menjaga anjing kesayangannya, Koongie, yang baru-baru ini didiagnosis menghidap edema paru-paru.

“Terlalu banyak perkara yang perlu saya uruskan sekarang. Sejujurnya, agak sukar untuk mengendalikan semua ini, termasuk kemalangan tersebut, tanpa bantuan orang lain. Tetapi saya akan pastikan semuanya diuruskan dengan baik seperti yang saya sentiasa lakukan.

“Disebabkan berlaku kesilapan pada tempahan asal, saya mengambil masa yang agak lama untuk menerima kereta ini. Namun sebaik sahaja saya menerimanya, Koongie jatuh sakit dan saya pula terlibat dalam kemalangan yang tidak dijangka.

“Saya rasa mungkin kereta ini dan saya memang tidak ditakdirkan bersama. Walaupun saya mungkin rugi, saya bercadang untuk menjualnya sebaik sahaja kerja pembaikan selesai. Kalau ada yang berminat, sila hubungi saya,” katanya berseloroh.

Leeteuk turut berkongsi beberapa foto kereta tersebut ketika baru diterima serta gambar selepas kemalangan, sekali gus meluahkan rasa kecewanya terhadap insiden yang berlaku.

Sumber: Allkpop

Related Articles

Back to top button