Dana RM19 juta bantu penggiat industri kreatif

KUALA LUMPUR: Usaha membantu penggiat industri kreatif dalam melahirkan karya bermutu dan mampu bersaing pada peringkat antarabangsa terus menjadi misi utama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Sehubungan itu, FINAS menyediakan peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD) sebanyak RM19 juta untuk dimanfaatkan pengkarya filem.

Berkongsi berita gembira itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim berkata, jumlah RM19 juta akan dipecahkan kepada empat bahagian mengikut kategori dana disediakan agensi kerajaan itu.

“Pengagihan DKD ini akan dipecahkan kepada empat bahagian iaitu Dana Filem Cereka sebanyak RM10 juta, RM5 juta (Dana First Time Amateur Film Makers), RM3 juta (Dana Pemasaran dan Pengedaran) dan RM1 juta (Dana Penyertaan dan Promosi Antarabangsa).

“DKD amat penting dalam usaha membantu membangunkan industri perfileman tempatan.

Dr Md Nasir

“Ini kerana ia adalah satu daripada strategi bagi meningkatkan daya saing industri kreatif sebagai pemangkin utama dalam menjana ekonomi negara dan memartabatkan budaya bangsa.”

“Selain memberi kemudahan, insentif ini juga menjadi peranan menggalakkan penggiat industri kreatif dalam penghasilan, penerbitan dan penyebaran kandungan yang berdaya cipta tinggi dan berupaya menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Dana ini juga mampu membangunkan modal insan yang bermutu secara lestari bagi mengoptimumkan potensi industri kandungan kreatif.

“Faedah lain yang boleh dicapai menerusi insentif ini adalah misi menghasilkan harta intelek (IP) Malaysia yang berdaya saing mampu dicapai,” katanya ketika ditemubual program bual bicara Kuppa Kopi siaran TV Okey, baru-baru ini.

DKD juga berperanan sebagai satu ekosistem

Md Nasir menambah, DKD ini juga berperanan sebagai satu ekosistem yang bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan penerbit, tetapi membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berkaitan seperti kru di belakang tabir.

“Dengan adanya DKD ini, pemain industri, terutama produser dapat membuka peluang kepada penggiat industri kreatif dalam produksi seperti pengarah, penolong pengarah, jurukamera, juruteknik bunyi, jurusolek termasuk pelakon.

“Justeru, dengan adanya modal, mereka dapat mengeluarkan kepakaran dalam berkarya,” jelasnya.

Ternyata usaha kerajaan membantu golongan pembikin filem menerusi pemberian DKD ini sejak lapan tahun lalu membuahkan hasil apabila banyak pencapaian diraih, sekali gus membantu mengharumkan nama negara di mata dunia.

“Pencapaian diraih bukan sahaja untuk filem, tetapi juga menerusi dokumentari diterbitkan produksi tempatan.

“Antaranya, dokumentari Malaysian Last Tigers yang berjaya ditayangkan di saluran dokumentari National Geographic.

“Kejayaan filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang juga penerima DKD mendapat kutipan pecah panggung sebanyak hampir RM100 juta juga antara pencapaian membanggakan.

“Penerimaan orang luar terhadap filem tempatan juga memberi nilai tambah kepada industri perfileman tanah air.

“Filem Jagat antara contoh filem yang mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila berjaya menyertai beberapa acara festival filem luar negara seperti Festival Filem New York Ke-15 pada 2016, Festival Filem Jepun dan Asia Pacific Screen Award Australia pada tahun sama.

“Selain itu, penerima DKD membabitkan pengkarya di Sarawak turut mencatat kejayaan membanggakan apabila karya ditayangkan di platform digital dan OTT seperti Tilit-Tilit Cinta terbitan TVS yang disiarkan di Netflix, manakala program MISI (Sarawak) disiarkan di Astro First,” jelas Md Nasir.

Related post