Malam pengubat rindu
KUALA LUMPUR: Kerjasama dua badan penyiaran, iaitu RTM dan Mediacorp Pte Ltd, Singapura dalam membangunkan industri televisyen (TV), radio dan digital sejak lama dahulu, diakui membawa limpahan kepada penggiat industri seni dan hiburan.
Namun, sejak dunia dilanda pandemik COVID-19 hingga membawa kepada penutupan industri kreatif, RTM dan Mediacorp terpaksa menangguhkan projek kerjasama, termasuk Konsert Muzika Ekstravaganza yang menjadi antara program paling dinantikan pencinta seni dua negara.
Sabtu lalu, selepas lebih tiga tahun tidak dapat dianjurkan berikutan pandemik COVID-19, edisi ke-14 Konsert Muzika Ekstravaganza dipentaskan di Auditorium Perdana, Angkasapuri Kota Media di Kuala Lumpur, bertemakan ‘Duo Hits’.
Kali terakhir dianjurkan pada 2018, Konsert Muzika Ekstravaganza yang dipentaskan setiap dua tahun, membuktikan keutuhan hubungan dua hala Malaysia-Singapura dalam konteks pembangunan industri penyiaran serta pertukaran seni dan budaya.
Yang turut hadir bersama penonton yang memenuhi segenap ruang Auditorium Perdana adalah Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil serta Menteri Perhubungan dan Penerangan Singapura, Josephine Teo.
Pada malam bersejarah yang dikendalikan hos dari Malaysia, Nabila Huda dan gandingan dari Singapura, Suzairhe Sumari, barisan artis dari dua negara tampil beraksi menghiburkan peminat dengan pelbagai genre muzik.
Sebanyak 19 lagu dipersembahkan artis popular tempatan iaitu Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Francisca Peter, Akim Ahmad, Stacy, Haziq Rosebi, Siti Nordiana, Sona One, Suki Low dan Hael Husaini.
Artis Singapura yang terbabit pula adalah Datuk Ramli Sarip, Jatt Ali, Rahila Rashun, Hazrul Nizam, Syakirah Noble, Yung Raja, Fariz Jabba dan Elfee Ismail.
Tirai persembahan dibuka dengan paduan suara juara program SG Mania, Rahila Rashun dan naib juara program Anugerah 2017, Syakirah Noble menerusi lagu yang dipopularkan Anita Sarawak, Seksis, lantas membentuk rentak dan ‘mood’ pada malam itu.
Pentas terus dihangatkan dengan persembahan dua bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF), Akim Ahmad dan Haziq Rosebi menerusi Kul It!, nyanyian asal legenda negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.
Tidak hanya mengetengahkan genre klise, konsert yang berdurasi dua jam itu turut mengangkat genre hip hop menerusi persembahan Fariz Jabba, Yung Raja dan Sona One. Mereka menyampaikan lagu Mad Blessing, And Then, No More dan Hakeleh.
Tidak ketinggalan genre irama tradisional yang dipersembahkan Siti Nordiana, Rashila Rashun, Elfee Ismail dan Haziq Rosebi menerusi lagu Tari Tualang Tiga, Zapin Bunga Hutan dan Hati Ke Hati.
Namun, siapa mampu menafikan penangan penghibur berpengalaman iaitu Datuk Francissca Peter, Jatt Ali, Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim sebaik mereka mengambil alih pentas.
Ini dapat dibuktikan melalui reaksi rata-rata penonton di auditorium apabila keempat-empat penyanyi legenda ini mendapat jeritan paling kuat.
Bukan sekadar itu, auditorium bergema dengan nyanyian penonton apabila mereka mendendangkan lagu nostalgia yang menggamit memori.
Lebih-lebih lagi ketika apabila pasangan duet yang dikatakan paling serasi sejak lebih tiga dekad lalu, iaitu Khadijah dan Ramli yang tampil mengisi slot persembahan.
Khadijah dan Ramli menghiburkan peminat dengan lagu ‘berhantu’ mereka yang segar sehingga hari ini, iaitu Doa Buat Kekasih.
Tidak hanya itu, Khadijah yang juga mesra dengan panggilan Khaty itu menyampaikan dua lagu popularnya, Kupendam Sebuah Duka dan Ku Gembira Di Sampingmu, manakala Ramli yang sinonim dengan jolokan Papa Rock, mendendangkan lagu Istilah Bercinta.
Antara lagu lain yang turut mendapat sambutan hangat adalah Sekadar Di Pinggiran dan Ku Ke Udara Lagi yang dinyanyikan Francissca dan Kehebatan Cinta yang dipersembahkan bersama Jatt.
Jatt kemudian mengubat rindu peminat dengan mempersembahkan lagu Dulu dan Sekarang serta Gadis Ayu.
Memberi nuansa berbeza, Suki Low berpadu suara dengan Hazrul Nizam mendendangkan lagu yang dipopularkan Jay Jay dan Dayangku Intan iaitu Kita Insan Biasa.
Konsert Muzika Ekstravaganza yang disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 dan Suria (Mediacorp) itu diakhiri dengan persembahan Hael Husaini menerusi lagu Kelentang Kelentung.
Persembahan diiringi 32 pemuzik Orkestra RTM di bawah pimpinan pemuzik dari Malaysia dan Singapura, iaitu Luqman Aziz dan Syawal Kassim.
Turut dimeriahkan dengan gabungan 20 penari tempatan dari Alamak Dance Crew diketuai Alam Wakaka dan koreografer, Aliff Aircho serta penari Singapura, Dance Crew.