Kementerian sedia kaji isu bayaran artis veteran

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berharap Hari Seniman Kebangsaan yang disambut setiap tahun dapat membakar semangat, di samping menyuntik kesedaran mengenai kepentingan golongan seniman terutama dalam konteks pembangunan industri kreatif tanah air.

Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti isu dihadapi golongan veteran dengan memberi fokus bukan hanya pada kebajikan, malah kelangsungan hidup.

“Mungkin kita boleh meneliti beberapa perkara yang dapat disediakan untuk membantu veteran menyara hidup. Saya akan berbincang dengan Ketua Pengarah Penyiaran, Suhaimi Sulaiman berhubung perkara ini.

“KKD akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak. Pada masa ini, kami sudah mengadakan pertemuan dengan penggiat industri muzik dan bakal mengatur pertemuan dengan penggiat industri perfileman selepas Aidilfitri,” katanya yang ditemui selepas sambutan Hari Seniman Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), malam kelmarin.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Ni Ching; Ketua Setiausaha KKD, Datuk Seri Mohammad Mentek; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Profesor Md Nasir Ibrahim.

Selain soal kebajikan, Fahmi berjanji meneliti isu pembayaran untuk veteran yang selama ini sering menjadi rungutan apabila menerima bayaran tidak setimpal dengan pengalaman.

“Beri sedikit masa, kami akan melakukan beberapa penyelarasan tetap. Jadi, mesti ada sedikit persefahaman dalam kalangan produser.

“Kami tahu antara isu yang dihadapi membabitkan kos. Bagi saya, amat penting untuk golongan veteran masih mempunyai bakat ditonjolkan ke depan.”

Fahni

“Lagipun, ada audiens yang masih bersikap ‘evergreen’, jadi saya rasa memang ada peluang seperti ini. Insya Allah, kementerian akan mengadakan pertemuan dan perbincangan penyelarasan,” katanya.

Pada acara berkenaan, Fahmi turut menyampaikan Anugerah Tokoh Perpaduan yang diberikan kepada animasi Upin & Ipin terbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd.

Hari Seniman Kebangsaan 2023 bertema ‘Filem Wadah Perpaduan, Titian Keharmonian’ adalah simbolik penghargaan kepada penggiat seni dan budaya yang banyak menyumbang serta mengharumkan nama Malaysia.

Ia disambut pada 22 Mac setiap tahun dan dipilih sempena tarikh kelahiran Tokoh Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai mengenang dan menghargai jasa beliau.

Hari Seniman Kebangsaan 2023 yang berlangsung di Studio Sound Stage, Kompleks FINAS dimeriahkan dengan persembahan artis dari Persatuan Kebajikan Artis Legenda Malaysia seperti Aspalela Abdullah, Muhaini Suratman, Zalifah Ibrahim, Shah Farid, Sabree Fadzil, Junainah M Amin, Winnie K dan ramai lagi.

Related post