Usah abai pekerja seni

KUALA LUMPUR: Penggerak industri kreatif menaruh keyakinan Kerajaan Perpaduan dapat memberi perhatian kepada usaha merancakkan pembangunan sektor itu pada fasa peralihan endemik melalui peruntukan di bawah Belanjawan 2023 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Februari ini.

Persatuan yang memayungi penggiat seni berharap kerajaan tidak melupakan sektor kreatif yang turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah banyak kejayaan dicapai anak seni tempatan, baik pada peringkat tempatan mahu pun antarabangsa sejak dua tahun lalu, biarpun dunia masih berperang dengan COVID-19.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN), Zed Zaidi, berharap Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula memberi perhatian kepada pembangunan industri kreatif sama seperti kali pertama dikemukakan di Parlimen pada 7 Oktober 2022.

“SENIMAN mewakili warga seni berharap apa yang dijanjikan untuk anak seni, tetapi tidak sempat dilaksanakan berikutan pertukaran kerajaan dapat dikekal dan ditambah baik di bawah pembentangan semula Belanjawan 2023,” katanya kepada BH Online.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, dijadual membentangkan semula Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Februari ini.

Pembentangan semula bajet tahunan itu berikutan Belanjawan 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober 2022 tidak dapat dibahas dan diluluskan berikutan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.

Ketika ia dibentangkan kali pertama pada awal Oktober tahun lalu, peruntukan bajet itu paling besar dan tinggi dalam sejarah negara iaitu RM372.3 bilion.

Memberi input mewakili sektor kreatif, Zed berkata, SENIMAN memohon peruntukan untuk penghasilan filem kenegaraan RM50 juta yang dijanjikan sebelum ini, ditambah kepada RM100 juta sesuai dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan.

“SENIMAN mencadangkan peruntukan untuk pembikinan filem kenegaraan ditambah sesuai dengan Kerajaan Perpaduan di mana filem seumpama itu boleh menyatupadukan rakyat berbilang bangsa di negara ini,” katanya.

Selain itu, SENIMAN mencadangkan peruntukan di bawah Dana Kandungan Digital (DKD) ditambah kepada RM150 juta sesuai dengan kepesatan pembangunan dan penggunaan teknologi digital semasa.

“Berikutan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil cenderung ke arah teknologi digital, peruntukan DKD harus ditambah supaya lebih banyak kandungan digital dapat dihasilkan,” katanya.

Zed berkata, potongan cukai bagi sumbangan Tabung Komuniti Filem dan Pembangunan Filem perlu dikekalkan agar dapat memanfaatkan persatuan seni dalam melaksanakan program dan aktiviti seni.

“Ini juga dapat menggalakkan tajaan daripada sektor swasta, sekali gus membantu merancakkan lagi industri perfileman tanah air,” katanya.

Zed berkata, selain pelepasan cukai bagi penggunaan peralatan penggambaran filem, kerajaan wajar menimbang manfaat sama diberi kepada peralatan muzik yang menjadi nadi kepada penghasilan filem.

“Jika tiada muzik, pincanglah sesebuah filem. Jadi, bagi menggalakkan pembelian peralatan muzik, kerajaan harus memberi pengecualian cukai.

“Ini secara tidak langsung dapat membantu mengembangkan lagi industri kreatif dan merancakkan sektor ekonomi industri seni.

“SENIMAN juga berharap subsidi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dikekalkan agar badan seperti SENIMAN dapat membantu menggalakkan lebih ramai penggiat seni peka untuk mencarum.

“Jika kerajaan memberi subsidi 80 peratus, itu bermakna pekerja industri hanya perlu membayar baki 20 peratus. Bagi saya, ini tidak membebankan, sekali gus memberi galakan kepada mereka untuk mencarum dalam PERKESO,” katanya.

Zed juga berharap kerajaan dapat menambah peruntukan RM50 juta daripada RM25 juta kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menggalakkan pertumbuhan industri pelancongan, sekali gus meningkatkan peluang pekerjaan bagi warga seni.

Tambah Zed, SENIMAN berharap dapat bersemuka dengan Fahmi untuk berkongsi pandangan dan masalah dihadapi warga seni. Tambahnya, sejak Fahmi dilantik sebagai menteri, belum ada pertemuan diatur dengan persatuan mewakili penggiat seni.

“Kami berharap dapat berjumpa Fahmi sebelum Belanjawan 2023 dibentangkan di Parlimen, tidak lama lagi. Sekurang-kurangnya, apabila dapat bertemu secara empat mata, bolehlah kami menerangkan serba sedikit mengenai industri seni tanah air sebelum sidang Parlimen bermula.

“Masa sudah semakin suntuk, tetapi, nampaknya tiada ura-ura daripada Fahmi untuk berjumpa warga seni. Di bawah kerajaan lalu, kami diberi peluang menyuarakan apa sahaja masalah industri kreatif pada Townhall Sesi Libat Urus Bajet 2023 bersama Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah, ketika itu.

“Selain itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah berkunjung ke Kompleks Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) pada program Eksplorasi Komuniti Kreatif Keluarga Malaysia (Ekspresi@FINAS), tahun lalu.

“Jadi, kami berharap Fahmi dapat mengaturkan sesi bersama warga seni agar beliau faham isu penggiat industri kreatif sebelum Parlimen bersidang. Usaha ini perlu dibuat dibuat kerana masih banyak lagi isu anak seni belum disuarakan di Dewan Rakyat,” katanya.

Related post