Konsert Amy Search Bertembung Dengan Final Piala Malaysia
SEORANG peminat meminta penyanyi, Datuk Amy Search untuk menukar tarikh konsert solo pertamanya disebabkan bertembung dengan perlawanan akhir Piala Malaysia iaitu pada 26 April depan.
Konsert Amy Search Magic First Solo Concert bakal berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, manakala perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Menyedari mengenai permintaan peminatnya, Amy secara berseloroh memberitahu supaya tidak menonton perlawanan bola sepak tersebut kerana sudah mengetahui keputusannya.
“Tak perlu tengok sebab dah tentu JDT menang. Mana pernah JDT kalah,” balas Amy kepada pengikutnya menerusi mesej (DM) di Instagram.
Sebelum ini, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan perubahan tarikh baharu bagi aksi final Piala Malaysia yang membabitkan pertembungan JDT dan Sri Pahang.
Badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu dalam kenyataan memaklumkan tarikh baharu aksi final itu ditetapkan pada 26 April di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Untuk rekod, selepas 44 tahun bergelar anak seni, Amy bakal muncul dengan konsert solo pertamanya ‘Amy Search Magic First Solo Concert’ di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 26 April ini.