Akibat Islamofobia, 85 Kubur Orang Islam Di Hertfordshire Dirosakkan

Sekitar 85 buah kubur orang Islam yang terdiri daripada orang dewasa serta bayi di Hertfordshire, England dirosakkan.

Aktiviti vandalisme tersebut dilaporkan berlaku di Tanah Perkuburan Carpenders Park Lawn, Watford pada hujung minggu lalu.

Sebanyak puluhan batu nisan ditemui musnah atau rosak, selain sebilangan besar adalah kubur bayi dan kanak-kanak.

Susulan daripada itu, pemimpin Majlis Brent, Muhammed Butt menyifatkan insiden berkenaan sebagai jenayah kebencian Islamofobia.

Beliau berkata, sehingga 100 kubur mungkin menjadi sasaran.

“Ini adalah insiden yang sangat serius dan kami terus bekerjasama rapat dengan polis Hertfordshire untuk memaklumkan kepada ahli keluarga serta membawa pelaku ke muka pengadilan.

“Nampaknya kubur penduduk Islam menjadi sasaran dalam jenayah kebencian, Islamofobia,” katanya seperti dilaporkan MailOnline.

Polis Hertfordshire menyiasat insiden itu sebagai jenayah kebencian, manakala ciri keselamatan tambahan akan ditambah dalam masa beberapa hari akan datang.

Related post

Leave a Reply