Konflik Pakistan-India, Amar Baharin Terpaksa Tukar Laluan Berbasikal Ke Makkah

Susulan konflik yang sedang berlaku di sempadan Pakistan dan India ketika ini, pelakon, Amar Baharin, 40, terpaksa menukar laluan perjalanan bagi misi berbasikal ke Tanah Suci yang dijadualkan bakal bermula pada 27 April ini.

Menurut pemilik nama lengkap Amar Mohd. Baharin, keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan selain menyifatkan ada hikmah atas apa yang terjadi.

“Allah sebaik-baik perancang. Kami dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi kita di New Delhi bahawa keadaan di India dan Pakistan adalah tidak selamat untuk dilalui buat misi #JourneyToTanahHaram.

“Sehubungan dengan itu, kami terpaksa ‘reroute’ (menukar laluan) misi ini atas faktor keselamatan. Laluan yang terbaharu akan dimaklumkan kemudian,” maklumnya menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Terdahulu, Amar memberitahu bakal menjayakan misi berbasikal Kembara Makkah bersama rakannya yang juga pendaki pertama Gunung Everest dari Malaysia iaitu Datuk Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin.

Amar dan Muqharabbin dijangka memulakan kayuhan mereka dari Perlis sebelum merentas ke beberapa negara lain seperti Thailand dan Iran sebelum tiba di Arab Saudi. Mereka dijangka tiba di Madinah pada Julai depan.

Sebelum ini, isteri kepada Amar, aktres, Amyra Rosli mengakui pada awalnya berasa takut dan tidak bersetuju dengan hasrat suaminya untuk menjayakan misi berkenaan.

Pun begitu, Amyra akhirnya berlapang dada dan menyatakan sokongan terhadap minat dan niat baik suaminya.

Related post

Leave a Reply