Pengulas AS Ini Tuduh Rakyat Malaysia Tak Cukup Makan
Pengulas konservatif Amerika Syarikat (AS), Bill O’Reilly sekali lagu dihenyak kontroversi gara-gara menuduh Malaysia sebagai negara miskin dan rakyatnya pula tidak cukup makan.
Bill yang juga pengacara turut membandingkan pendapatan isi rumah di Malaysia dan Amerika Syarikat dalam podcast terbaharunya berjudul No Spin News.
Menerusi satu rakaman video yang dikongsikan di platform Instagram Bill berpesan kepada Presiden China, Xi Jinping terhadap lawatannya ke Vietnam, Malaysia dan Kemboja.
“Hai Presiden Jinping, saya ingin memberitahu anda. Mereka tiada wang. Mereka tidak dapat membantu dan tidak akan membeli barang anda.
“Kami (rakyat AS) memiliki wang. Kami boleh membeli produk anda. Orang Melayu tidak akan membeli barang anda kerana mereka tidak mempunyai wang,” katanya di dalam video itu.
Dalam pada itu, menerusi video kedua, Bill mendakwa pendapatan isi rumah perkapita Malaysia sangat rendah sekitar AS$5,731(RM25,130) setahun berbanding AS sebanyak AS$42,220 (RM184,754).
Katanya, sukar bagi rakyat Malaysia untuk membeli barang, sekali pun topi kecil daripada China dengan pendapatan kecil itu.
“Jadi, jika anda mahu membeli topi kecil sekali pun anda tidak mampu kerana anda mempunyai pendapatan cuma AS$5,731 setahun.
“Anda juga tidak makan,” katanya seperti dilaporkan 8 Days.
Video tersebut telah dikongsikan beberapa kali di platform X oleh rakyat Malaysia. Menerusi salah satu komen, ada yang menyangkal dakwaan Bill dengan mengatakan rakyat Malaysia ramai mengalami masalah obesiti.