Empat Live In Kuala Lumpur, Gabungan Paling Dinantikan

Paling dinantikan- itu gambaran sebahagian besar peminat tatkala mengetahui empat penyanyi besar bakal berpadu tenaga mengadakan konsert.

Pastinya paduan Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel begitu mengujakan sementelah mereka bakal bergabung menerusi konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 pada 18 Oktober hadapan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Konsert anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Altus ProHouse itu menghimpunkan dua generasi penghibur dalam satu persembahan dengan keempat-empat artis mempunyai pertalian kekeluargaan.

Menariknya ini juga merupakan kolaborasi julung kali antara adik-beradik Ziana dan Anuar bersama-sama dengan anak saudara mereka Ernie dan suaminya, Syamel.

“Ini adalah sebuah projek yang sangat mengujakan saya dan kakak, Ziana serta anak buah kami Ernie dan suaminya.

“Syamel akan terlibat dalam industri yang sama sebagai penghibur dan bakal menghiburkan anda di atas satu pentas,” kata Anuar dalam satukenyataan. 

Jelas Anuar, idea menganjurkan konsert tersebut telah lama dirancang, namun hanya kini dapat direalisasikan setelah mengambil kira jadual kerja keempat-empat mereka.

Sementara itu, Ziana menyifatkan konsert tersebut sebagai satu temasya istimewa buat peminat untuk menikmati karya dua generasi dalam satu malam.

“Saya juga tidak mahu menjanjikan sesuatu yang luar biasa tapi datanglah dan nikmati Empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan sebaiknya.

“Konsert ini juga akan menjadi bukti bahawa peminat kita tidak hanya menyokong seorang sahaja penyanyi kegemaran mereka tetapi selalu memberi dukungan kepada industri muzik tempatan,” jelasnya.

Bagi Ernie pula, dia mengaku berdebar namun teruja kerana dapat bergandingan dengan bapa dan ibu saudaranya yang telah lama menjadi idolanya.

“Saya menangis selepas dilamar merealisasikan konsert ini. Empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah sebuah impian saya dari dulu lagi,” katanya.

Bersetuju dengan Ernie, Syamel menyifatkan penglibatannya dalam konsert tersebut sebagai peluang luar biasa yang menaikkan lagi tahap karier seninya. 

“Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri; masing-masing adalah legenda. Kerjasama kami berempat menerusi energi masing-masing boleh membuahkan konsep persembahan yang menarik,” katanya.

Menggunakan khidmat Jennifer Thomson Sze Wan sebagai pengarah muzik , tiket untuk menyaksikan konsert ini mula dijual pada Jumaat lalu menerusi  www.ticket2u.com.my/empatkl.

Related post

Leave a Reply