Berebut Ambil Air Ajaib, Rupanya Sumber Dari Paip Pecah!
Penduduk di sebuah kampung, Desa Rowoyoso, Kecamatan Wonokerto, Kabupaten Pekalongan gempar dengan kemunculan air secara misteri pada hujung minggu lalu.
Disebabkan air tersebut muncul secara misteri, orang ramai berebut-rebut cuba mengumpulkan air berkenaan, atas dakwaan ia mempunyai banyak khasiat.
Difahamkan, orang ramai berasa pelik dengan kewujudan air itu, memandangkan tiada sumber mata air pernah muncul di kawasan tersebut. Tambahan pula air tersebut berwarna jernih, dan tidak berbau.
Seorang penduduk mendakwa, selepas dia minum air berkenaan, kakinya yang sakit sudah pun pulih. Disebabkan hal itu, berduyun penduduk di sekitar datang untuk mengumpulkan air yang dimaksudkan.
Ketua Desa Rowoyoso, Subkhan memberitahu, aliran air pada awalnya kecil namun bertukar menjadi deras.
Justeru, penduduk setempat segera menghubungi pihak Perusahaan Daerah Air Minum (PDAM) untuk memastikan punca sebenar air itu.
Selepas siasatan dibuat, petugas Ketua Uni PDAM kemudian mengesahkan yang air berkenaan datang daripada saluran paip PDAM yang bocor.