Fahmi janji bantu penggiat seni berkebolehan terbitkan program

KUALA LUMPUR : Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berjanji membantu pelawak, Ebby Yus yang mengalami masalah kesihatan seperti buah pinggang dan jantun, diberi peluang menerbitkan program sesuai dengan kebolehan dirinya.

Fahmi berkata, bukan didorong faktor pilih kasih, sebaliknya, Ebby layak mendapat peluang menerbitkan program kerana dirinya berbakat.

Sehubungan itu, selain Ebby, Fahmi mahu membantu penerbit dan pembikin filem mendapatkan sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) dalam menghasilkan kandungan agar nasib penggiat seni veteran tidak terabai.

“Sebelum ini, timbul persepsi mendakwa industri filem dan produksi kita dikuasai kartel.”

Fahmi Fadzil

“Jadi, saya ingin menghancurkan mitos itu. Saya mahu pastikan lebih ramai penerbit dan pembikin filem berbakat dan layak mendapat peluang,” katanya selepas menziarahi Ebby di kediamannya di Kampung Baru di sini, hari ini.

Pada pertemuan itu, Fahmi menyerahkan bantuan kepada Ebby yang terjejas pendapatan selepas mengalami masalah buah pinggang dan jantung.

Yang turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim dan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim.

Ketika bertemu Fahmi, Ebby menyuarakan kegagalannya mencuba nasib dalam sesi ‘pitching’ untuk mendapatkan kontrak menerbitkan program televisyen (TV).

Sementara itu, mengulas mengenai mekanisme pengagihan DKD bernilai RM102 juta seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2023, Jumaat lalu, Fahmi berkata, butirannya akan diumumkan kelak.

Fahmi berkata, kementerian akan mengkaji jumlah yang bakal diterima tiga badan utama iaitu FINAS, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MyCreative Venture Sdn Bhd mengikut proses ‘pitching’ yang bakal diadakan.

“Ketiga-tiga badan ini memiliki bidang tugas dan skop berbeza. Jadi, dana akan disalurkan mengikut keperluan badan yang layak.

“FINAS berkaitan filem, MDEC sektor animasi dan MyCreative Venture menguruskan ekuiti. Jadi, ianya sedikit berbeza.

“Pihak yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi pejabat saya secara langsung atau kita akan membuat pengumuman, tidak lama lagi.” katanya.

Mengenai permintaan penggiat seni untuk berdialog dengannya, Fahmi berkata, sesi libat urus akan dianjurkan, tidak lama lagi.

“Saya sudah maklumkan pejabat mengenai sesi ‘townhall’ bersama penggiat seni yang akan dianjurkan secara langsung.

“Beberapa perkara yang menjadi fokus utama saya adalah untuk meneliti dasar perfileman negara daripada pemain industri.

“Kita akan cuba percepatkan agar suara semua pihak dapat didengari,” katanya.

Related post