Search masih jadi pilihan barisan penghibur utama

KUALA LUMPUR: Tidak hanya satu, tetapi tiga kumpulan legenda, Search, Wings dan Butterfingers akan beraksi dalam Nusa Fest 2023 di Bandar Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur selama dua hari pada 8 dan 9 Julai depan.

Vokalis Search, Datuk Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman menyifatkan usaha penganjur, Shiraz Projects menghidupkan Nusa Fest dengan memilih kumpulan otai sebagai barisan penghibur utama memberi makna yang cukup besar.

“Shiraz Projects mengambil masa agak lama untuk mencari barisan utama. Alhamdulillah, kami sangat menghargai atas usaha ini.

“Search mahu Nusa Fest menjadi salah satu acara besar buat industri muzik. Ini kerana untuk menjayakan festival menuntut kerja keras, lebih lagi apabila ia menggabungkan pemuzik dari tiga Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Ia juga bukan festival mengetengahkan muzik semata-mata, tetapi dari segi seni dan budaya.”

Search

“Saya melihat ini antara usaha baik kerana ia boleh merapatkan lagi hubungan antara penggiat muzik tiga negara.”

“Mungkin dengan adanya festival ini dapat lagi memeriahkan industri kita.

“Jujurnya, saya sangat teruja dapat bersama Wings dan Butterfingers untuk memeriahkan Nusa Fest,” katanya kepada BH Online ketika ditemui pada sidang media pengumuman barisan utama Nusa Fest di ibu kota, baru-baru ini.

Amy berkata, Search akan mengadakan persembahan selama 40 minit dan lagu rancak menjadi seleksi pilihan.

“Saya rasa Search perlu mempersembahkan lagu lebih rancak untuk penonton merasakan adrenalin festival berkenaan.

“Dan saya juga mendapat makluman, ramai peminat mahu hadir.

“Bagi saya, peminat datang bukan sahaja menikmati karya tempatan, malah mendengar lagu dan muzik dari luar negara.

“Ia memberi pengalaman berbeza buat peminat,” katanya.

Selain Amy, Search turut dianggotai Hillary Ang (gitar), Nasir Daud (bass) dan Man Kidal (gitar).

Sementara itu, mengulas mengenai kebanggaan sehingga hari ini masih menjadi barisan penghibur utama yang mampu menarik peminat, Amy berkata, mereka akan cuba memberikan persembahan terbaik seiring tanggungjawab yang diberikan.

“Penghibur utama untuk sesebuah festival cukup penting. Sesiapa yang menganjurkan festival atau konsert pastinya memerlukan ‘headliner’ yang mampu menjadikan acara lebih berjaya. Kalau tiada, impaknya mungkin berkurangan.

“Tidak kisah pemuzik senior atau baharu, ia bergantung keistimewaan pada sesebuah kumpulan. Kami berbangga masih menjadi ‘benchmark’ untuk festival yang sama, tahun hadapan.

“Harapan bukan untuk kami sahaja, tetapi untuk Nusa Fest itu sendiri. Kalau ia berjaya, kami juga berjaya,” katanya yang mengharapkan festival itu dapat diadakan secara tahunan.

Sementara itu, Amy berkata, Search akan mengadakan Konsert Fantasia Bulan Salju di Arena Of Stars, Genting Highlands pada 12 Ogos depan.

“Ia adalah satu acara yang akan mengetengahkan suasana berbeza. Dahulu di Arena Of Stars berlangsungnya acara seperti Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH), jadi acara ini seperti menggamit semula memori acara berkenaan.

“Sekian lama Search tidak mengadakan persembahan di Arena of Stars, akhirnya dapat juga mengubati kerinduan kami dan peminat. Konsert ini juga adalah antara persembahan yang dinantikan,” katanya.

Terdahulu, Nusa Fest adalah gabungan barisan pemuzik terkenal di tiga nusantara menampilkan 12 kumpulan dari Malaysia, Indonesia (11) dan Singapura (satu).

Selain Search, Wings dan Butterfingers, Nusa Fest turut menampilkan Kugiran Masdo, Salammusik, Forceparkbois, lqbal M, White Percussion Unit, Jemson, Budak Nakal Hujung Simpang, Gerhana Skacinta, Monoloque.

Dari Indonesia membabitkan Fourtwnty, Barasuara, Pusakata, Efek Rumah Kaca, Kelompok Penerbang Roket, The Changcuters, Burgerkill, Seringai, Diskoria, Dipha Barus, Ras Muhamad, manakala The Pinholes dari Singapura.

Tiket bagi festival ini boleh diperoleh menerusi www.myticket.asia.

Related post