Film

“Tak Pernah Letak Diri Saya Sebagai Idola”

Pelakon, Beto Kusyairy, 46, kekal merendah diri meskipun sering dijadikan rujukan dan inspirasi oleh pelakon generasi baharu dalam industri seni tempatan.

Menurut pemilik nama sebenar Nurkusyairy Zakuan Osman, perjalanan sebagai anak seni bukanlah untuk mengangkat diri sebagai idola, sebaliknya peluang untuk terus menimba ilmu serta berkongsi pengalaman bersama orang lain.

“Saya tiada masalah bekerjasama dengan pelakon baharu atau pelapis, asalkan mereka serius dengan apa dilakukan.

“Jika apa saya lakukan mampu memberi inspirasi untuk mereka memperbaiki mutu lakonan, alhamdulillah, teruskan. Namun, saya tidak pernah meletakkan diri sebagai idola. Itu bukan hak saya,” katanya.

Mengulas lanjut, Beto menegaskan dia sentiasa membuka ruang kepada bakat baharu kerana merekalah yang bakal mencorakkan masa depan industri.

“Kalau mereka melihat saya sebagai sumber inspirasi, saya hanya mampu bersyukur dan terus menyokong.

“Saya percaya pelapis baharu inilah nanti akan menggantikan saya. Jadi, sokongan itu penting,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Beto sekali lagi diberi kepercayaan menggalas watak pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR) dalam filem Gayong 2 terbitan SOL Pictures Sdn Bhd.

Filem arahan Faisal Ishak itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, Fauzie Laily, Bobby Tonelli, Rabbit Chen dan Hanna Aqeela.

Related Articles

Back to top button