Isteri Ryan Bakery Keguguran Anak Kedua

Pelakon dan pempengaruh, Ryan Bakery, 31, berkongsi khabar duka apabila isterinya, Elyia Ibrahim disahkan mengalami keguguran anak kedua mereka, baru-baru ini.
Menurut pemilik nama sebenar Ryan Fahmi Bakery, mereka sebelum ini sempat merasai kegembiraan apabila mengetahui Elyia hamil pada pagi Syawal.
Namun, kebahagiaan itu tidak berpanjangan apabila isterinya mengalami pendarahan ketika dalam perjalanan pulang ke kampung di Pahang.
“Isteri saya baru saja keguguran anak kedua kami. Dapat berita gembira pada pagi Syawal tetapi bila kami balik kampung di Pahang, isteri tergerak hati ajak buat pemeriksaan di klinik.
“Sampai saja di klinik, isteri saya mengalami pendarahan. Doktor kemudian rujuk ke Hospital Temerloh dan di situlah kami dimaklumkan kandungan itu tidak dapat diselamatkan,” katanya.
Tambah Ryan, usia kandungan ketika itu baru melepasi sebulan dan disahkan melalui ujian kit kehamilan selepas Elyia menyedari kitaran haidnya lewat daripada biasa.
“Kandungan baru saja masuk sebulan lebih. Bila isteri sedar haidnya lewat, dia buat ujian dan keputusannya positif.
“Kami memang teruja dengan berita itu, tapi mungkin belum ada rezeki untuk kami kali ini. Sedih itu memang ada, mungkin juga isteri saya keletihan kerana banyak bergerak,” ujarnya lagi.
Dalam masa sama, Ryan mengakui dia perlu kuat untuk menjadi sokongan utama kepada isterinya yang masih bersedih dengan kehilangan tersebut.
“Sebagai suami, kita mungkin tak dapat rasa sepenuhnya apa yang isteri lalui. Jadi saya kena kuat untuk dia.
“Kadang-kadang dia menangis bila teringat. Tambahan pula dia sudah mula buat persiapan awal seperti membeli asid folik dan susu untuk ibu mengandung.
“Saya cuba beri semangat supaya dia lebih tenang. Alhamdulillah, sekarang emosinya semakin baik,” katanya lagi.
Untuk rekod, Ryan dan Elyia mendirikan rumah tangga pada 1 Oktober 2022 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Ryan Ezra yang kini berusia dua tahun.



