Emma Maembong Terkilan DJ Kidd Umum Berita Putus Cinta Kepada Umum

Pelakon, Emma Maembong, 34, mengakui berasa sedikit terkilan dengan tindakan bekas kekasihnya iaitu DJ Kidd yang mengumumkan berita perpisahan mereka secara terbuka di media sosial.
Pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail, berkata sebagai seorang wanita, dia berasa kurang selesa apabila hal peribadi didedahkan secara terbuka memandangkan selama ini lebih memilih untuk menyimpan kisah hati daripada pengetahuan umum.
“Memang kalau boleh saya nak mengelak dan tak suka sangat nak berkongsi cerita dalaman, tetapi memandangkan dia pun sudah buat kenyataan, jadi kita ikutlah.
“Adalah sedikit rasa terkilan (DJ Kidd keluarkan kenyataan putus cinta), tapi nak buat macam mana kan? Kita tidak boleh kawal hati orang. Apabila perkara ini terjadi, saya pun kena reda. Terima sahaja ketentuan-Nya,” katanya.
Dalam pada itu, Emma menjelaskan dia tidak mahu bermusuhan, malah hubungan mereka kini masih dalam keadaan baik meskipun tidak lagi serapat dahulu.
Emma yang juga ibu tunggal kepada dua cahaya mata berkata, pengalaman lalu termasuk kegagalan rumah tangga banyak mematangkannya sebagai seorang wanita.
“Kami ada berhubung sebab bagi saya, hidup ini singkat sahaja. Saya pun tidak suka bermusuh atau bermasam muka.
“Saya juga pernah melalui kegagalan dalam perkahwinan. Semua fasa ini mematangkan. Kalau suatu hari nanti berjodohan, kita terima cuma mungkin bukan sekarang.
“Dramatik sangat kalau kata trauma. Perkara itu tidaklah sebab beginilah kehidupan. Nak kata serik itu, adalah sikit,” ujarnya lagi.
Terdahulu, DJ Kidd mengejutkan ramai apabila mengumumkan hubungan mereka telah berakhir.
Sebelum itu, dia turut mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat apabila pernah menggunakan perkataan ‘isteri’ dalam hantaran di media sosial, sekali gus menimbulkan spekulasi mengenai status sebenar hubungan mereka.



