Lan Solo Ketepikan Ego, Mahu Berdamai Dengan Rody

Penyanyi, Lan Solo, 41, mendedahkan dia sanggup mengetepikan ego demi memulihkan hubungan dengan gitaris utama kumpulan Kristal, Rody bagi memastikan perjalanan Konsert Kristal OG Bersama berjalan dengan lancar.
Pemilik nama sebenar Muhammad Razlan Mohamed Yusof, berkata Rody merupakan individu pertama yang cuba dihubunginya sebaik menerima tawaran menjayakan konsert berkenaan.
Lan juga menyuarakan hasrat untuk bertemu secara bersemuka bagi membincangkan segala perkara dengan lebih jelas.
“Sejak awal menerima tawaran mementaskan konsert ini, Rody adalah individu pertama yang saya rujuk. Saya mahu jumpa dan ceritakan segala-galanya. Jadi saya cakap dengan Rody, elok kita berjumpa, lagipun, kita memang sudah lama tidak bersua.
“Saya fikir lebih baik berbincang secara langsung daripada WhatsApp kerana kerana saya kurang selesa dan takut mesej itu tidak sama macam nada yang kita hendak sampaikan. Jadi, saya ajak Rody berjumpa.
“Tetapi itulah, hari demi hari jawapan yang diterima hanyalah okay, nanti fikir dan maaf sibuk. Saya cuba hubungi Rody sejak Jun tahun lalu hingga akhir Julai atau Ogos. Akhirnya, saya terpaksa putuskan cubaan itu,” katanya.
Tambah Lan, usaha menghubungi Rody selepas hampir sembilan tahun tidak berkomunikasi turut dibantu oleh adik Rody iaitu Acap, yang menjadi penghubung untuk mendapatkan nombor telefon gitaris berkenaan.
“Saya fikir Acap orang yang tepat untuk membantu memberi nombor itu. Jadi, apabila saya cuba hubungi Rody, panggilan tidak diangkat, mungkin dia tidak kenal nombor saya.
“Tetapi, Rody hantara WhatsApp saya dan bertanya, ini siapa. Maksudnya, dia tidak simpan nombor sayalah. Saya terus perkenalkan diri dan ajak berbincang mengenai projek yang ingin saya ceritakan,” katanya lagi.
Menurut Lan lagi, niatnya hanyalah untuk memperbaiki hubungan silaturahim selain memenuhi hasrat peminat yang mahu melihat mereka kembali bergabung di atas satu pentas.
“Niat saya hanya untuk memperbetulkan ukhwah, menjalinkan kembali hubungan seperti dahulu dan berkongsi manfaat positif. Ramai yang meminta kerjasama ini.
“Saya juga sudah ketepikan ego. Saya fikir ini mungkin masa yang sesuai dan Acap mungkin boleh menjadi jambatan untuk memulihkan hubungan kami. Saya fikir ini peluang yang kita dapat manfaatkan,” ungkapnya lagi.
Walaupun kecewa dengan perkembangan yang diterima, Lan Solo tetap menghormati keputusan Rody dan memilih untuk memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan Konsert Kristal OG yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 1 Mei ini.
Untuk rekod, hubungan antara Lan dan Rody mula tegang apabila Lan Solo menyertai program Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada tahun 2017.
Keputusan itu dipercayai menjadi punca Rody mengambil langkah merehatkan Lan Solo dan mencari vokalis baharu, sekali gus membawa kepada perpisahan penyanyi itu daripada kumpulan Kristal.



