Tabung Komuniti Filem bantu penggiat filem

KUALA LUMPUR: Penggiat industri perfileman kini memiliki pelan sandaran yang mampu membantu kos pembiayaan sekiranya berdepan bencana, kemalangan dan penyakit kronik selepas kerajaan meluluskan Tabung Komuniti Filem menerusi Belanjawan 2023, awal tahun ini.

Penubuhan tabung yang idea dicetuskan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu bertujuan membantu penggiat seni yang berdepan masalah sehingga mengganggu proses untuk berkarya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Profesor Dr Md Nasir Ibrahim, berkata pihaknya kini sedang mencari mekanisma penubuhannya supaya tidak berlaku birokrasi atau disalahgunakan pihak tertentu.

Malah, katanya, FINAS tetap akan membantu mengikut kesesuaian biarpun kemungkinan bantuan tidak dapat diberikan secara berterusan.

“Bantuan akan dihulurkan kepada penggiat seni perfileman yang tidak dapat berkarya kerana berdepan bencana alam atau musibah seperti kebakaran.

“Kedua, penggiat seni yang tidak dapat berkarya disebabkan berdepan kemalangan, bagaimanapun FINAS akan tetap bantu sama ada berlaku kecacatan kekal atau sebaliknya.

“Ketiga, individu yang mengalami masalah kesihatan seperti strok, jantung, buah pinggang dan penyakit kronik lain. Sumbangan bakal dihulurkan bergantung kepada tahap keseriusan masalah yang dihadapi.

“Sehingga kini, tarikh pelancaran masih belum ditetapkan, tetapi FINAS akan dilancarkan secepat mungkin,” katanya kepada BH Online.

Md Nasir menjelaskan,Tabung Komuniti Filem yang akan digerakkan itu tidak hanya tertumpu kepada aspek kebajikan semata-mata, sebaliknya skopnya diperluaskan dengan menampung sebahagian perbelanjaan pembikinan filem bertaraf antarabangsa yang memerlukan dana besar.

“Selain itu, ia bukan sahaja untuk kebajikan, tetapi antara lain fungsinya untuk pembikinan filem. Tabung Komuniti Filem ini mempunyai dua fungsi berbeza dan ia bergantung kepada objektif penubuhan.

“Saya merancang merealisasikan tabung dalam masa terdekat. Jadi, tabung ini tidaklah tertumpu membantu dari segi kesihatan, bencana atau kemalangan.

“Malah, FINAS akan membantu menghulurkan dana bagi penghasilan filem bermutu tinggi dan bertaraf antarabangsa.

“Biarpun sudah diluluskan dalam pembentangan Belanjawan 2023, ia masih belum dilancarkan secara rasmi. Jadi, saya berharap Tabung Komuniti Filem ini dapat membantu penggiat filem kerana FINAS sendiri tidak ada peruntukan khas.

“Idea penubuhan tabung ini juga saya peroleh dari negara luar yang dilihat baik dan bermanfaat membantu penggiat seni filem,” katanya.

Dalam masa sama, Md Nasir beranggapan, ia mampu melicinkan proses perbelanjaan untuk tujuan pembangunan industri perfileman dan memudahkan kelulusan mendapatkan dana dengan kewujudan tabung berkenaan.

“Apabila tabung diwujudkan ia agak mudah kerana tidak tertakluk kepada perbelanjaan pilihan dan perbelanjaan pembangunan oleh kerajaan.

“Penyalurannya juga akan menjadi lebih mudah. Bagaimanapun, ia tetap bergantung kepada akauntabiliti kerana tabung itu bukan diuruskan seorang, tetapi ada pemegang amanah untuk memastikan wang tidak disalah gunakan.

“FINAS akan pastikan penggiat seni yang betul-betul layak untuk menguruskan. Ini kaedahnya dan kami dalam proses untuk mewujudkan tabung ini,” katanya.

Memperincikan soal aplikasi yang digunakan, Md Nasir berkata, pihaknya sudah membuat rundingan tertentu dan mengambil kira aspek yang mampu memberi manfaat kepada penggiat seni perfileman.

“FINAS sudah berunding dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk pengecualian cukai. Apa yang berlaku ialah semua pelabur, penderma atau penyumbang akan dikecualikan sebanyak 10 peratus daripada pendapatan agregat.

“Ia ada kiraannya dan secara kasarnya, jika syarikat mempunyai pendapatan RM100 juta dan perbelanjaan pula RM30 juta, maka ada lebihan RM70 juta.

“Jadi, sebanyak 10 peratus daripada RM70 juta ialah RM7 juta. Apa sahaja yang dibelanjakan dalam ruang lingkup RM7 juta akan dikecualikan cukai. Maknanya ada lebihan pendapatan untuk mereka menyumbang kerana tidak dikenakan cukai,” katanya.

Caption : Md Nasir menjelaskan, Tabung Komuniti Filem tidak hanya tertumpu kepada aspek kebajikan, mata, sebaliknya skopnya diperluaskan dengan menampung sebahagian perbelanjaan pembikinan filem bertaraf antarabangsa.

Related post