Malaysia Tersenarai Antara Lokasi Konsert Jelajah Ulang Tahun Ke-20 BIGBANG

BIGBANG bakal memulakan jelajah dunia sempena ulang tahun ke-20 mereka yang dinanti-nantikan menerusi konsert stadium di Goyang, sekali gus menandakan permulaan sambutan global bersama peminat.
YG Entertainment mendedahkan poster rasmi BIGBANG 2026 WORLD TOUR menerusi saluran media sosial kumpulan itu, memperkenalkan pelan jelajah berskala besar yang merangkumi pelbagai stadium dan venue kubah ikonik di seluruh dunia.
Menurut pengumuman tersebut, BIGBANG akan mengadakan 31 konsert di 18 bandar, bermula di Goyang, Korea Selatan pada Ogos ini. Jelajah itu kemudiannya akan diteruskan ke Amerika Utara, Eropah, Oceania, Jepun serta beberapa negara lain di Asia sebelum melabuhkan tirai pada Februari tahun hadapan.
BIGBANG akan singgah di Kuala Lumpur pada 9 Januari 2027, di TM Stadium Nasional.
Antara lokasi terkenal lain yang tersenarai dalam jadual jelajah itu ialah Goyang Stadium, MetLife Stadium, Stade de France, Tottenham Hotspur Stadium, Kaohsiung National Stadium, Taipei Dome, Tokyo Dome, Kyocera Dome Osaka dan Mizuho PayPay Dome Fukuoka.

YG Entertainment berkata: “Kami sedang membuat persiapan rapi bagi setiap aspek jelajah ini, daripada skala penganjuran hinggalah kepada kualiti produksi, bagi memenuhi jangkaan peminat yang telah lama menantikan kepulangan BIGBANG. Lokasi tambahan untuk jelajah ini akan diumumkan pada masa akan datang,” katanya.
Selain jelajah dunia, BIGBANG turut melancarkan beberapa projek khas untuk peminat. Salah satu daripadanya ialah ‘STILL ALIVE’, yang mengajak peminat berkongsi kenangan dan koleksi berharga berkaitan kumpulan itu seperti light stick, tiket konsert serta pelbagai memorabilia lain.
Peminat boleh menyertai projek tersebut menerusi komuniti rasmi BIGBANG di platform fandom global b.stagesehingga 21 Jun.
Jelajah dunia serta pelbagai acara sampingan yang dirancang dijangka menjadi sebahagian besar daripada sambutan ulang tahun ke-20 BIGBANG, sekali gus mengeratkan lagi hubungan kumpulan itu dengan peminat di seluruh dunia menerusi pelbagai projek istimewa dan persembahan secara langsung.



