Nadiya Nisaa Sibuk, Tak Ada Masa Nak Wujudkan Akaun Threads

Pelakon, Nadiya Nisaa, 40, menafikan dakwaan kononnya dia enggan membuka akaun Threads kerana menganggap platform media sosial tersebut bersifat toksik seperti diperkatakan segelintir pihak.
Menurut pemilik nama sebenar Nadiyatul Nisaa Kamaruddin, keputusan untuk tidak menyertai Threads sebenarnya lebih disebabkan kekangan masa memandangkan dia kini sibuk menguruskan kerjaya seni serta kehidupan peribadi.
Katanya, sejak awal pembabitannya dalam dunia hiburan, dia sememangnya tidak terlalu aktif di media sosial dan hanya memiliki akaun Instagram serta TikTok yang juga jarang dikemas kini.
“Saya tak ada akaun Threads bukan sebab saya fikir platform itu toksik. Sebenarnya saya sendiri pun tak tahu sangat suasana di sana macam mana, sama ada lebih positif atau sebaliknya.
“Faktor utama lebih kepada masa sebab untuk menguruskan banyak akaun media sosial memerlukan komitmen yang besar,” katanya.
Menurut Nadiya lagi, akaun media sosial miliknya ketika ini lebih banyak digunakan bagi tujuan kerja termasuk mempromosikan filem, drama dan projek seni terbaharunya berbanding berkongsi kehidupan harian.
Tambahnya, dia juga lebih berhati-hati dalam memuat naik perkara berkaitan keluarga terutama anak-anak selepas pernah melalui pengalaman yang membuatkan dirinya kurang selesa.
“Saya pernah alami situasi apabila ada individu tiba-tiba datang dan dukung anak lelaki saya ketika berada di pasar raya.
“Mungkin niat dia baik dan sekadar mahu beramah mesra, tetapi bila melibatkan anak dan sentuhan tanpa izin, sudah tentu saya terkejut,” katanya.
Disebabkan pengalaman itu, Nadiya memilih untuk lebih menjaga privasi keluarga selain mengurangkan perkongsian berkaitan kehidupan peribadi di media sosial.
Menurutnya lagi, suaminya juga seorang yang introvert dan mereka berdua tidak melihat keperluan untuk terlalu berkongsi mengenai keluarga di platform digital.
“Mungkin sebab itu saya jarang kongsi tentang kehidupan harian atau anak-anak di media sosial.
“Suami saya pun seorang introvert, jadi kami rasa tidak perlu terlalu kerap muat naik gambar keluarga,” katanya.
Bagaimanapun, Nadiya mengakui media sosial tetap memainkan peranan penting dalam membantu perkembangan kerjaya seseorang artis pada masa kini.
Namun katanya, dia bukan jenis selebriti yang gemar memuat naik kandungan berkaitan kerja setiap hari kerana lebih selesa menggunakan media sosial secara sederhana.
“Saya bukan artis yang hari-hari kongsi tentang kerja atau aktiviti seni. Kadang-kadang sebulan sekali pun belum tentu saya muat naik gambar baharu.
“Rakan-rakan pun selalu bergurau kata mereka kena tunggu lama untuk nampak posting baru daripada saya,” ungkapnya lagi.



