Berita

RM5,000 Sebulan Masih Tak Cukup? Data Baharu Dedah Realiti Gaji Rakyat Malaysia

Ketika kos sara hidup terus menjadi kebimbangan utama ramai rakyat Malaysia, data yang baru diketengahkan menunjukkan sebahagian besar pekerja di negara ini masih memperoleh pendapatan RM5,000 atau kurang sebulan.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sekitar 70.2 peratus pekerja sektor formal di Malaysia menerima gaji bulanan RM5,000 dan ke bawah setakat Disember 2025.

Angka itu menjadi perhatian di tengah-tengah kebimbangan bahawa ramai pekerja masih bergelut untuk menampung peningkatan kos sara hidup, terutama mereka yang menetap di kawasan bandar utama.

Menurutnya, walaupun RM5,000 mungkin kelihatan sebagai jumlah yang munasabah di atas kertas, ia mungkin tidak mencukupi bagi sesetengah isi rumah selepas mengambil kira perbelanjaan seperti sewa rumah, makanan, pengangkutan, penjagaan anak, pinjaman dan kos harian lain.

Keadaan ini lebih ketara bagi keluarga yang mempunyai tanggungan di bandar-bandar besar, di mana kos untuk mengekalkan taraf hidup yang selesa adalah jauh lebih tinggi.

Dr Mohd Afzanizam turut menjelaskan, pasangan suami isteri berusia antara 18 hingga 29 tahun yang mempunyai dua anak kecil di Kuala Lumpur memerlukan kira-kira RM6,183 sebulan bagi memenuhi keperluan asas kehidupan.

Sebagai perbandingan, sebuah keluarga dengan saiz yang sama di Kuala Terengganu hanya memerlukan sekitar RM3,845 sebulan.

Menurutnya, perbezaan ini menunjukkan lokasi memainkan peranan besar dalam menentukan kuasa beli dan pendapatan boleh guna sesebuah isi rumah.

Statistik Gaji Pekerja sektor formal yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut menunjukkan bahawa 8.4 peratus pekerja sektor formal di Malaysia memperoleh gaji di bawah RM1,700 pada Disember 2025.

Analisis peratusil pula mendapati 10 peratus pekerja formal berpendapatan paling rendah menerima gaji bulanan RM1,700 atau kurang.

Sebaliknya, pekerja dalam kelompok 10 peratus tertinggi memperoleh sekurang-kurangnya RM11,122 sebulan.

Dr Mohd Afzanizam turut menegaskan bahawa daya tahan kewangan bukan hanya bergantung kepada jumlah pendapatan seseorang, tetapi juga cara mereka menguruskan kewangan dan hutang.

Beliau menjelaskan bahawa pinjaman peribadi masih menjadi antara penyumbang utama kepada kes kebankrapan, diikuti pembiayaan perniagaan, pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan dan hutang kad kredit.

Data ini sekali lagi mencetuskan perbincangan mengenai sama ada kadar gaji di Malaysia benar-benar seiring dengan peningkatan kos sara hidup, khususnya bagi golongan pekerja muda dan keluarga yang tinggal di kawasan bandar.

Related Articles

Back to top button