“Selain Rawatan Hospital, Saya Ikhtiar Rawatan Tradisional & Ambil Air Penawar”

Pelakon, Shahronizam Noor, 53, meluahkan rasa syukur apabila dikelilingi ramai insan yang tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang dirinya menjalani rawatan susulan kanser tulang belikat yang dihidapi sejak tahun lalu.
Menurut Shahronizam, keprihatinan yang diterima daripada rakan artis, pihak produksi serta kenalan rapat sedikit sebanyak memberi kekuatan buat dirinya untuk terus berdepan ujian kesihatan yang sedang dilalui ketika ini.
Katanya, selain memberikan kata-kata semangat, ada juga dalam kalangan rakan seperjuangan yang tampil membantu dari segi kewangan dan berkongsi pelbagai panduan penjagaan kesihatan selepas dia disahkan mempunyai tumor sekitar Ogos tahun lalu.
“Saya sangat bersyukur sebab ramai yang ambil berat tentang keadaan saya termasuk artis-artis senior yang selalu hubungi, mesej dan bertanya khabar.
“Mungkin orang nampak saya macam kuat dan sihat seperti biasa, tetapi saya sendiri tahu keadaan badan saya selepas melalui semua ini.
“Saya benar-benar terharu bila ada kawan-kawan yang sanggup bersama saya ketika susah dan cuba membantu memudahkan urusan saya,” katanya.
Tambah Shahronizam, keluarga juga menjadi sumber kekuatan utama yang banyak membantunya untuk terus positif dan tidak mudah mengalah sepanjang proses rawatan.
Dalam pada itu, Shahronizam memaklumkan dia dijadual menjalani imbasan CT scan pada 9 Julai depan sebelum bertemu pakar onkologi pada 22 Julai bagi mengetahui perkembangan terkini penyakit yang dihidapinya.
Menurutnya, doktor sebelum ini turut mencadangkan rawatan kemoterapi sebagai antara usaha pemulihan yang lebih berkesan untuk keadaan kesihatannya.
“Mungkin selepas CT scan nanti saya boleh tahu bagaimana perkembangan kanser itu. Sebelum ini doktor onkologi ada mencadangkan saya menjalani kemoterapi sebanyak enam kitaran.
“Untuk setiap kitaran, saya perlu dimasukkan ke hospital selama lima hari dan kemudian berehat selama tiga minggu sebelum meneruskan rawatan seterusnya,” jelasnya lagi.
Tambahnya, keseluruhan proses rawatan tersebut dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan sekali gus mungkin memberi kesan terhadap rutin kerjayanya sebagai pelakon.
“Kalau saya mula menjalani kemoterapi nanti, memang agak sukar untuk saya bekerja seperti biasa,” ujarnya.
Selain rawatan moden, suami kepada Safura itu turut berusaha mendapatkan rawatan alternatif sebagai ikhtiar tambahan bagi membantu proses pemulihannya.
“Selain rawatan hospital, saya juga cuba ikhtiar lain termasuk rawatan tradisional dan ambil air penawar,” katanya lagi.



