Berita

“Scammer Rosakkan Nama Artis”

Pelakon, Aaron Aziz, 50, meluahkan kebimbangan terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama selebriti sebagai modal untuk meyakinkan individu tertentu melabur dalam projek filem yang belum tentu sahih.

Menurut Aaron, perkara seperti itu bukan sesuatu yang asing apabila dia sendiri pernah menjadi mangsa apabila gambarnya digunakan tanpa kebenaran bagi menarik pelabur menyuntik dana ke dalam sebuah projek yang langsung tidak mempunyai sebarang persetujuan rasmi daripadanya.

Katanya, kejadian tersebut bermula selepas dia menghadiri satu pertemuan bersama beberapa individu yang mahu berbincang mengenai cadangan projek besar.

Bagaimanapun, selepas sesi perbincangan itu selesai, pihak terbabit terus menghilangkan diri sebelum dia dimaklumkan terdapat individu lain sudah membuat pelaburan kerana percaya dia terlibat dalam projek berkenaan.

“Baru-baru ini ada pihak ajak saya berjumpa untuk bincang satu projek besar. Masa itu mereka ambil gambar bersama saya ketika pertemuan tersebut.

“Selepas itu mereka terus senyap. Tiba-tiba ada orang datang beritahu saya bahawa dia sudah melabur dalam projek itu.

“Saya memang terkejut sebab saya sendiri tidak tahu apa-apa mengenai perkembangan lanjut projek tersebut,” katanya.

Menurut Aaron, dia kemudian menyedari gambar pertemuan itu digunakan bagi memberi gambaran seolah-olah dirinya sudah bersetuju untuk bekerjasama sedangkan tiada sebarang perjanjian dimeterai.

“Rupanya mereka gunakan gambar bersama saya untuk yakinkan pelabur kononnya saya sudah setuju, padahal perkara itu langsung tidak berlaku,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Aaron mengakui kecewa dengan taktik penipuan seperti itu kerana bukan sahaja memberi kesan buruk kepada artis, malah boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap industri kreatif tempatan.

Katanya, sekiranya pelabur mula hilang kepercayaan akibat diperdaya scammer, itu akan memberi kesan besar terhadap peluang penerbit menghasilkan lebih banyak karya baharu pada masa akan datang.

“Penipuan seperti ini (scammer) bukan saja rosakkan nama artis dan rugikan pelabur, tetapi turut memberi kesan kepada industri filem secara keseluruhan.

“Kalau pelabur sudah takut untuk keluarkan dana sebab pernah ditipu, akhirnya industri juga yang akan terjejas,” ujarnya.

Menurut Aaron, kegiatan seperti itu sukar dibendung sepenuhnya kerana scammer kini semakin licik dan menggunakan pelbagai cara untuk memperdayakan mangsa.

Disebabkan itu, dia berharap semua pihak lebih berhati-hati dan membuat semakan terperinci sebelum bersetuju menyertai atau melabur dalam mana-mana projek.

“Kes macam ini memang selalu berlaku sebab scammer sangat pandai bermain helah.

“Sebab itu penting untuk semua orang buat semakan terlebih dahulu sebelum percaya atau keluarkan duit,” katanya.

Related Articles

Back to top button