Roti Canai Jadi Roti ‘Kanai’, Peserta MasterChef Mohon Maaf

Wakil Malaysia dalam rancangan MasterChef: Global Gauntlet yang memenangi cabaran mingguan World Cup Cookoff tampil memohon maaf susulan kontroversi sebutannya terhadap roti canai.
Jamie Tan, 27, yang juga merupakan pencipta kandungan, memuat naik video di TikTok bagi menjawab kritikan yang diterimanya.
“Saya sedih kerana telah mengecewakan begitu ramai orang di Asia Tenggara.
“Saya tahu betapa pentingnya hidangan ini kepada ramai orang, jadi saya hanya ingin memohon maaf. Ia sama sekali tidak disengajakan dan saya tidak berniat untuk salah menggambarkan hidangan kebangsaan di televisyen,” katanya.
Jamie menjelaskan sebutan tersebut hanyalah satu kesilapan dan kini dia sudah mengetahui cara sebutan yang betul untuk roti canai.
Dalam cabaran selama sejam itu, para peserta diminta menyediakan makanan terbaik untuk dinikmati ketika menonton perlawanan Piala Dunia.
Jamie muncul juara keseluruhan cabaran selepas menyediakan roti canai bersama kari kelapa Malaysia, nasi kelapa dan salad timun serta nanas.
Bagaimanapun, cara beliau menyebut perkataan ‘canai’ menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan sebahagian rakyat Malaysia.
Dalam video berkenaan, Jamie dilihat menerangkan hidangannya kepada juri Tiffany Derry, namun menyebut ‘canai’ dengan bunyi “kanai”.
Dalam video permohonan maafnya, Jamie berkata dia tidak dibesarkan di Malaysia dan merupakan rakyat Malaysia-Amerika.
“Kami tidak mempunyai ramai komuniti Malaysia di sini. Ayah saya berasal dari Johor, malah kedua-dua datuk dan nenek saya pernah memiliki kopitiam sebelum mereka meninggal dunia.
“Saya mempunyai ikatan yang sangat kuat dengan Malaysia dan peluang untuk membawa serta mewakili Malaysia dalam rancangan ini sangat bermakna buat saya. Sebab itu saya sangat kecewa dengan diri sendiri,” katanya.



