Ungu Pilih Marsha, Janji Persembahan Ikonik Rai Tiga Dekad Perjalanan Seni

Nama Marsha Milan kini menjadi perhatian apabila penyanyi itu diumumkan sebagai artis jemputan khas untuk konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Idea Live Arena pada 5 September hadapan.
Lebih istimewa, pemilihan Marsha bukan dibuat secara kebetulan sebaliknya dipilih sendiri oleh anggota kumpulan Ungu yang mahu menampilkan seorang penyanyi dengan kekuatan vokal bagi melengkapkan malam istimewa bersempena ulang tahun 30 perjalanan seni mereka.
Pengumuman itu sekali gus menambah keterujaan peminat yang tidak sabar menyaksikan gabungan dua nama besar Nusantara berkongsi pentas dalam sebuah persembahan yang dijangka sarat dengan emosi, nostalgia dan kenang-kenangan istimewa.
Menurut Ungu, mereka sudah lama mengikuti perkembangan kerjaya seni Marsha dan percaya penyanyi kelahiran Sabah itu memiliki karakter vokal yang unik serta kemampuan menyampaikan lagu dengan penuh jiwa.
“Marsha mempunyai suara yang sedap dengan karakter yang kuat ketika menyampaikan lagu. Kami percaya beliau mampu membawa energi untuk malam ini.
“Kami benar-benar teruja untuk berkongsi pentas bersama Marsha di Kuala Lumpur dan tidak sabar untuk mencipta momen yang indah bersama peminat Malaysia,” kata Ungu.
Kehadiran Marsha dijangka memberi warna berbeza kepada konsert berkenaan yang bakal meraikan tiga dekad perjalanan seni Ungu dalam industri muzik Nusantara.

Dengan reputasinya sebagai antara vokalis terbaik tanah air, ramai menjangkakan penyanyi ini akan datang dengan sebuah persembahan yang meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.
Dalam masa sama, bahang menjelang konsert tersebut semakin terasa apabila sambutan yang diterima terus memberangsangkan sejak pengumuman rasmi dibuat.
Jualan tiket dilaporkan telah mencecah 50 peratus, membuktikan keterujaan peminat Malaysia untuk menjadi sebahagian daripada malam bersejarah itu.
Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur bakal membawa penonton mengimbau perjalanan seni kumpulan itu menerusi rangkaian lagu hit yang menjadi siulan ramai seperti Demi Waktu, Tercipta Untukku, Seperti Yang Dulu dan Cinta Dalam Hati.
Persembahan khas itu turut dijangka menampilkan elemen penceritaan dan visual yang membawa peminat menelusuri evolusi Ungu sepanjang 30 tahun berkarya.
Menurut Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy, gabungan Ungu dan Marsha diyakini menjadi antara momen paling dinanti-nantikan pada malam tersebut.
“Apabila Ungu sendiri memilih Marsha sebagai artis jemputan, kami tahu kombinasi ini akan menjadi sesuatu yang sangat istimewa.
“Kami percaya penonton akan dapat menyaksikan sebuah kolaborasi yang bukan sahaja kuat dari segi vokal, tetapi juga penuh chemistry dan emosi,” kata Zairul.



